KAB catat peningkatan untung bersih 19 kali ganda kepada RM20.23 juta bagi suku ketiga | DagangNews Skip to main content

KAB catat peningkatan untung bersih 19 kali ganda kepada RM20.23 juta bagi suku ketiga

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - Untung bersih Kinergy Advancement Berhad (KAB) melonjak 19 kali ganda kepada RM20.23 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM1.07 juta pada tahun lalu.

 

Segmen rumusan tenaga mampan (SES) meneruskan trajektori pertumbuhan positif dengan mencatatkan hasil sebanyak RM12.88 juta, peningkatan sebanyak 254.8% berbanding RM3.63 juta pada 3QFY22.

 

Keputusan segmen itu melonjak 9,636.5% kepada kira-kira RM21.32 juta pada suku semasa berbanding RM220,000 pada tahun sebelumnya.

 

Pengambilalihan PT Inpola Mitra Elektrindo sebuah loji kuasa hidro mini baru-baru ini juga melonjakkan keuntungan kumpulan itu.

 

"Pada suku tersebut, kumpulan itu mendapat manfaat daripada kenaikan tarif tenaga, aliran hasil baharu dan keuntungan daripada pemerolehan, yang menghasilkan prestasi kewangan yang cemerlang.

 

"Kenaikan mendadak dalam tarif elektrik juga memberi memanfaat kepada KAB dalam meraih keuntungan tambahan daripada aset sedia ada serta aset kuasa baharu," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Timbalan Pengerusi Eksekutif yang Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, strategi pengurusan mengalihkan fokus daripada kerja-kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) dan hartanah kepada rumusan tenaga mampan mula memberikan hasil positif.

 

"Bagi tahun penuh 2023, kami bersedia untuk mencapai prestasi kewangan terbaik dan kumpulan ini juga berada di landasan terbaik untuk mencapai objektif operasi dan ESG, sasaran kemampanan," katanya. 

 

Untung bersih KAB bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2023 (9MFY23) lebih daripada 11 kali ganda dari tahun ke tahun kepada RM26.23 juta berbanding RM2.30 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya. 

 

Hasil dicatatkan bagaimanapun lebih rendah iaitu RM136.46 juta berbanding RM143.92 juta pada 9MFY22

 

"Hasil yang lebih rendah adalah disebabkan oleh kesan sementara penempatan semula portfolio kontrak KAB secara strategik dengan tumpuan yang lebih besar pada SES. Segmen itu menyumbang kira-kira 19% daripada jumlah hasil kumpulan pada 9MFY23 berbanding 8.2% pada 9MFY22," katanya.

 

Sementara tu Keng Onn berkata, pihaknya berbesar hati kerana berjaya melengkapkan pengambilalihan Future Biomass Gasification Sdn Bhd, sebuah loji biogas yang terletak di Kedah.

 

"Setakat ini, kami telah berjaya menambah tiga aset penting ke dalam portfolio kami, iaitu loji solar, hidro mini dan biogas yang akan memberikan pendapatan mampan dan mengubah kami menjadi pakar teknikal holistik untuk pelbagai rumusan tenaga mampan," katanya.- DagangNews.com