Kabinet baharu mesti amalkan budaya kerja berprestasi tinggi - PM | DagangNews Skip to main content

Kabinet baharu mesti amalkan budaya kerja berprestasi tinggi - PM


PUTRAJAYA 27 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memastikan Kabinet yang dibentuk hari ini, menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

 

‘’Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan.

 

‘’Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama,’’ katanya semasa mengumumkan barisan kabinetnya menerusi televisyen nasional di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, beliau akan memastikan barisan Kabinet komited untuk menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

 

SENARAI PENUH JEMAAH MENTERI 

 

Selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN) kata beliau, aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat.

 

‘’Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.


 

PM
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa mengumumkan barisan Kabinet menerusi televisyen nasional pukul 11 pagi tadi.


 

‘’Bagi mendepani cabaran semasa, Kabinet ini perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu:

a. Peka dengan keperluan semasa

b. Bertanggungjawab dan amanah

c. Mengembalikan semula keyakinan rakyat

 

Ismail Sabri berkata,  barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.

 

Selain itu ujar beliau, penularan COVID-19 di peringkat global dan dalam negara turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan dan permintaan ekonomi tempatan.

 

‘’Saya juga akui keadaan ekonomi negara perlu dipulihkan segera,’’ kata Ismail Sabri.

 

Sehubungan itu kata beliau, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab ini dengan komited dan lebih proaktif.

 

‘’Saya berharap pelantikan Kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan COVID-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini,’’ katanya. – DagangNews.com