Kabinet setuju 7 langkah penyelesaian jangka pendek atasi isu bekalan, harga makanan | DagangNews Skip to main content

Kabinet setuju 7 langkah penyelesaian jangka pendek atasi isu bekalan, harga makanan

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kabinet bersetuju dengan tujuh langkah proaktif jangka pendek bagi menangani isu bekalan dan harga makanan termasuk menyegerakan proses pembayaran pendahuluan tuntutan subsidi harga ayam berjumlah RM157.53 juta kepada penternak kecil dan sederhana.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, langkah seterusnya adalah memudah cara prosedur import (IP) Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) ke atas empat komoditi iaitu soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan dan tumbuhan.

 

Katanya, ini melalui penangguhan fi permit serta mewujudkan 'priority lane' bagi proses kemasukan pantas sehingga bekalan ayam di pasaran kembali stabil.

 

"Selain itu, mempercepat proses keperluan lesen pengimportan di bawah Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (DVS) melalui kelulusan secara interim bermula 1 Julai ini dengan proses kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja berbanding dengan 30 hingga 90 hari yang akan memberi manfaat kepada 380 syarikat pengimport bahan makanan ternakan.

 

"Memberikan pengecualian khas bagi pengambilan pekerja asing dalam industri penternakan ayam mengikut keperluan bagi membolehkan aktiviti penternakan ayam beroperasi pada tahap optimum sekali gus menjamin kesinambungan pengeluaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, semakan semula ke atas tarif elektrik sektor agromakanan untuk mengurangkan beban kos operasi pengeluar makanan juga akan dilaksanakan.

 

kiandee
Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

 

Kaedah pelaksanaan simpanan stok ayam akan diwujudkan bagi menangani kekurangan bekalan ayam di pasaran menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang membabitkan Pertubuhan Peladang secara gabungan dan akan mula dilaksanakan serta merta.

 

"Secara amnya, bekalan makanan negara masih mencukupi untuk menampung keperluan penggunaan tempatan. 

 

"Bagaimanapun, bekalannya sudah menunjukkan trend bekalan yang lebih rendah berbanding keperluan bulanan bermula pada Februari lalu, namun bekalan semakin beransur pulih dan dijangka akan kembali stabil bermula bulan ini," katanya.

 

Beliau berkata, kementeriannya sedang giat melaksanakan pemberian subsidi kepada penternak sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

 

"Setakat ini, sebanyak 1,644 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM113.2 juta sudah diluluskan oleh MAFI. 

 

"Kerajaan sudah meluluskan pemberian subsidi pada kadar RM0.60 bagi setiap sekilogram (kg) dari 5 Februari hingga 30 Mac 2022 dan subsidi ini dinaikkan kepada RM1.40/kg bagi tempoh 1 April sehingga 30 Jun 2022.

 

"Kerajaan akan terus memainkan peranan efektif dengan kerjasama semua pihak bagi menjamin kemampuan memperoleh bekalan makanan mencukupi dan selamat pada harga berpatutan secara berterusan," katanya. - DagangNews.com