Kadar inflasi dijangka meningkat tahun ini - Firma | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi dijangka meningkat tahun ini - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 April - Inflasi dijangka meningkat tahun ini didorong beberapa faktor terutama harga minyak mentah global dan permintaan kembali meningkat apabila ekonomi semakin pulih, menurut firma penyelidikan dalam nota kajian mereka hari ini. 

 

Bagaimanapun, penganalisis masih kekal berhati-hati di sebalik unjuran inflasi yang lebih tinggi dengan mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.

 

CGS-CIMB mengekalkan unjuran kadar itu pada 3.1% dengan menjangkakan kesan asas yang rendah akan mempengaruhi pergerakan inflasi sepanjang 2021 terutama pada April dan Mei.

 

Firma itu berpendapat, harga minyak mentah akan menjadi risiko kepada kenaikan inflasi meskipun kerajaan mengenakan harga siling runcit bagi RON95 pada RM2.05 seliter dan diesel, RM2.15 seliter akan mengehadkan kenaikan tinggi kepada segmen pengangkutan.

 

"Inflasi utama Malaysia yang naik 1.7% pada Mac (berbanding 0.1% tahun ke tahun pada Februari), paras tertinggi sejak Mei 2018, adalah di dalam jangkaan kami dan pasaran.

 

"Kami kini menjangkakan BNM akan melihat kenaikan inflasi sementara, dan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% bagi menyokong pemulihan ekonomi," katanya.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi tahun ini berlegar antara 2.5 hingga 4%. 

 

Indeks Harga Pengguna (IHP), kaedah yang digunakan untuk mengukur kadar inflasi meningkat 1.7% pada Mac 2021 kepada 122.9 berbanding 120.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata IHP meningkat bagi dua bulan berturut-turut sejak Februari 2021.

 

Peningkatan IHP keseluruhan ini adalah didorong oleh peningkatan indeks Pengangkutan (9.8%); Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.5%); Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (1.0%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.9%); Minuman Alkohol & Tembakau (0.6%); Kesihatan (0.5%) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (0.5%) yang menyumbang 64% kepada keseluruhan wajaran.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, kenaikan inflasi pada Mac sebahagiannya disebabkan kesan asas yang rendah tahun lalu apabila aktiviti ekonomi terjejas susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. 

 

Secara amnya, jelas firma itu, sebahagian daripada kesan asas yang rendah, tekanan inflasi dijangka meningkat tahun ini disokong dasar fiskal dan monetari, kenaikan harga komoditi dan permintaan yang semakin beransur pulih sejajar dengan pemulihan ekonomi.

 

"Kejayaan pelancaran vaksin COVID-19 di dalam negara juga akan meningkatkan sentimen dan menggalakkan perbelanjaan. 

 

"Malah, kedatangan Ramadan dan hari raya tidak lama lagi akan meningkatkan tekanan inflasi bagi makanan dan minuman bukan beralkohol," katanya. 

 

MIDF Research menjangkakan kadar inflasi akan meningkat pada purata 2.3% tahun ini berbanding -1.1% pada 2020.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research mengekalkan prospek berhati-hati bagi kadar inflasi tahun ini ekoran peningkatan ketara jangkitan COVID-19 serta kekurangan vaksin apabila Malaysia memulakan fasa kedua program vaksinasi. 

 

"Kami melihat inflasi akan berlegar antara 3 hingga 5% dalam tempoh terdekat tetapi akan susut kembali pada purata di bawah 2% pada separuh kedua tahun ini apabila kesan asas rendah berkurangan," katanya.

 

Di sebalik peningkatan inflasi, firma itu menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar OPR dalam mesyuaratnya, 6 Mei ini. 

 

"Tetapi, kami percaya masih terdapat ruang bagi BNM mengurangkan kadar ini kepada 1.5% jika situasi COVID-19 di negara ini semakin buruk dan PKP terpaksa dilaksanakan semula," tambahnya. - DagangNews.com