Kadar inflasi keseluruhan tahun ini dianggar pada paras 3.2% dengan andaian subsidi bersasar dilancar pada Jun 2024 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi keseluruhan tahun ini dianggar pada paras 3.2% dengan andaian subsidi bersasar dilancar pada Jun 2024 - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - MIDF Research menganggarkan kadar inflasi keseluruhan pada tahun ini berada pada paras 3.2% dengan andaian subsidi bersasar dilancarkan seawal Jun 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, inflasi pengangkutan dijangka kekal sehingga suku pertama 2024 dan pihaknya menjangkakan kerajaan mengekalkan status quo mekanisme subsidi bahan api semasa.

 

Katanya, berdasarkan harga minyak mentah Brent pada Januar lalu, pihaknya menganggarkan harga runcit sebenar RON95 ialah RM3.11 seliter.

 

"Kami berpendapat kerajaan mungkin memperkenalkan mekanisme harga apungan terurus untuk RON95 dan memberikan bantuan tunai kepada mereka yang layak berpandukan kepada Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

 

"Inflasi bukan makanan mungkin meningkat pada 2.5% manakala bekalan domestik yang lebih baik dan harga komoditi global yang normal akan mendorong kadar inflasi makanan lebih rendah pada 4.5% pada 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Jan 2024 kekal 1.5% namun harga daging mula naik, beras import melambung 9.6%

 

Terdahulu, Indeks Harga Pengguna (IHP) Januari 2024 yang dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kumpulan yang menjadi perhatian utama rakyat iaitu Restoran & Perkhidmatan Penginapan meningkat 3.2% manakala kumpulan Makanan & Minuman bertambah 2.%.

 

Kumpulan lain yang turut melepasi kadar inflasi keseluruhan ialah Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.5%); Kesihatan (2.4%); Makanan & Minuman (2%) dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (2%).

 

Menurut DOSM, kumpulan Pengangkutan pula di bawah paras inflasi kelseluruhan dengan merekodkan peningkatan inflasi rendah (0.7%) berbanding bulan Disember 2023 (0.3%).

 

Katanya, kumpulan Makanan & Minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP bagaimanapun masih mencatatkan peningkatan lebih rendah iaitu 2.0 peratus pada Januari 2024 berbanding 2.3% pada Disember 2023. - DagangNews.com