Kadar inflasi masih tinggi, kukuhkan jangkaan OPR dinaikkan lagi tahun ini - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi masih tinggi, kukuhkan jangkaan OPR dinaikkan lagi tahun ini - MIDF Research

Kadar inflasi teras mencecah paras puncak baharu pada 4% sekali lagi bagi September 2022 disebabkan permintaan dalam negeri yang kukuh. - Gambar : Job Savelsberg/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Okt – Inflasi yang masih berlegar pada kadar 4% semakin mengukuhkan keyakinan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) dalam mesyuarat terakhirnya tahun ini pada bulan depan. 

 

MIDF Research sebelum ini menjangkakan tekanan inflasi akan menyederhana selepas Ogos berikutan berlakunya sedikit pembetulan dalam harga komoditi global dan rantaian bekalan semakin berkurangan di peringkat domestik dan serantau.

 

Namun, firma itu mendapati kadar inflasi teras mencecah paras puncak baharu pada 4% sekali lagi bagi September 2022 disebabkan permintaan dalam negeri yang kukuh.

 

Berasaskan bulan ke bulan, katanya, harga teras masih merekodkan pertumbuhan sebanyak 0.3% bulan ke bulan, manakala inflasi utama sebaliknya menyederhana sedikit kepada 4.5% tahun ke tahun.

 

"Dalam persekitaran harga komoditi global yang meningkat, tekanan inflasi di Malaysia dipengaruhi oleh inflasi makanan yang lebih tinggi, dan dijangka merekodkan pertumbuhan 5.5% tahun ini, antara lain disebabkan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

"Bagi subsidi bahan api, kami percaya kerajaan akan mengekalkan mekanisme semasa sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

 

"Dengan pengukuhan permintaan domestik, kami menaik taraf ramalan Indeks Harga Pengguna (IHP) utama sebanyak 0.2% kepada 3% bagi 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Baca : Kadar inflasi Malaysia 4.5% pada September berbanding 4.7% pada Ogos

 


Data terbaharu Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan menunjukkan dadar inflasi Malaysia pada September mencatat 4.5%, iaitu lebih rendah berbanding 4.7% pada Ogos.

 

Begitu juga perbandingan bulan ke bulan yang menunjukkan inflasi September 2022 terus menyederhana kepada 0.1% berbanding 0.2% pada Ogos 2022. Bagi tempoh Januari hingga September 2022, kadar inflasi adalah 3.3%.

 

Kenaikan pada bulan tersebut disumbangkan terutamanya oleh peningkatan inflasi kumpulan makanan yang menyederhana kepada 6.8% berbanding 7.2% pada Ogos 2022.

 

MIDF Research berkata, melangkah ke tahun 2023, inflasi yang didorong penawaran dijangka menjadi lemah antara lain disokong oleh peningkatan ringgit berbanding dolar AS, harga makanan yang sederhana, tekanan rantaian bekalan global semakin mereda dan harga komoditi lebih rendah.

 

Bagaimanapun, menurutnya, prospek inflasi pada tahun hadapan masih samar-samar, sementara menanti langkah yang diambil kerajaan berhubung mekanisme bahan api selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

 

"Jika kerajaan baharu mengekalkan status quo terhadap subsidi bahan api, maka inflasi akan berlegar antara 2.3% hingga 2.5% untuk 2023.

 

"Tetapi, sekiranya mekanisme subsidi dimansuhkan sepenuhnya, inflasi utama boleh mencecah 10% manakala kenaikan beransur-ansur dalam harga bahan api runcit domestik akan mengakibatkan kenaikan 4% hingga 5% untuk tahun depan," jelasnya. - DagangNews.com