Kadar inflasi negara meningkat 2.2% pada Mac 2022 | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi negara meningkat 2.2% pada Mac 2022

KUALA LUMPUR 22 April - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi pengukur kepada kadar inflasi negara meningkat 2.2% kepada 125.6 berbanding 122.9 pada bulan sama tahun lalu mengatasi purata inflasi bagi Januari 2011 hingga Mac 2022 iaitu 1.9%.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan inflasi makanan menjadi komponen terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP dan kekal menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi secara keseluruhan.

 

"Peningkatan inflasi keseluruhan telah didorong terutamanya oleh kenaikan dalam kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol (4.0%) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya," katanya dalam Laporan IHP Mac 2022 yang diterbitkan hari ini.

 

Peningkatan IHP pada bulan dikaji turut disebabkan kenaikan kumpulan Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan Isi Rumah (3.0%); Restoran dan Hotel (2.9%) dan Pengangkutan (2.6%).

 

Dalam masa yang sama, Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan meningkat sebanyak 1.9% manakala Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan meningkat 1.1%.

 

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, peningkatan 4.0% bagi kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol sebahagian besarnya berpunca dari kenaikan ketara komponen makanan di rumah yang meningkat 4.3% berbanding 4.1% yang dicatatkan pada Februari 2022.

 

"Subkumpulan daging terus menjadi penyumbang utama dalam kenaikan kumpulan ini dengan peningkatan sebanyak 7.6%. 

 

"Ayam yang menjadi penyumbang utama kepada subkumpulan daging meningkat kepada 10.5% manakala daging lembu meningkat 4.3% pada Mac 2022," katanya.

 

Sementara itu, subkumpulan sayur-sayuran meningkat 5.1% dengan bayam menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 24.1% diikuti salad (22.2 peratus) dan sawi akibat kenaikan harga racun dan baja global.

 

Kesan asas penetapan harga siling Petrol RON95 (RM2.05 seliter) dan Diesel (RM2.15 seliter) yang bermula Mac 2021 berakhir pada Februari 2022 mendorong kepada peningkatan sederhana pengangkutan (2.6%).

 

Namun begitu, purata harga Petrol RON97 mencatatkan kenaikan harga tertinggi RM3.73 seliter berbanding RM2.42 seliter pada bulan yang sama tahun lalu. - DagangNews.com