Kadar levi Indonesia: Pengeluar minyak sawit Malaysia bakal terjejas | DagangNews Skip to main content

Kadar levi Indonesia: Pengeluar minyak sawit Malaysia bakal terjejas

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Langkah kerajaan Indonesia untuk menurunkan tarif maksimum levi eskport minyak sawit dikhuatiri memberi kesan terhadap pengeluar minyak sawit di Malaysia. 

 

Menurut CGS-CIMB Research, ini susulan harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia bakal turun lebih rendah mengikut pemotongan levi eksport Indonesia pada masa akan datang, sambil menyifatkan tindakan itu bukan sesuatu yang mengejutkan.

 

“Sebagai rekod, harga semerta MSM Malaysia telah memuncak pada kadar RM4,774 setiap tan pada 18 Mei lalu dan menjunam 21% kepada RM3,728 setiap tan pada 29 Jun. 

 

“Namun, Malaysia akan menjadi lebih berdaya saing berbanding Indonesia dari segi pengeksportan MSM di bawah rejim eksport baharu memandangkan kadar cukai eksport siling MSM Malaysia 8% lebih rendah berbanding gabungan cukai dan levi eksport Indonesia. 

 

“Ini dalam lingkungan antara 7% hingga 29% berdasarkan harga MSM,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Indonesia secara rasmi telah menyemak semula struktur levi eksport minyak sawitnya yang berkuat kuasa hari ini, 2 Julai 2021. 

 

Antara perubahan utama kepada tarif itu adalah levi eksport akan meningkat sekiranya harga MSM melonjak lebih daripada AS$750 setiap tan daripada AS$670. 

 

Dalam pada itu, kadar kenaikan pungutan terbaharu adalah sebanyak AS$20 setan bagi setiap kenaikan AS$50 untuk produk sawit asas seperti MSM berbanding AS$15 setan untuk setiap kenaikan harga MSM AS$25.

 

Kadar levi eksport maksimum baharu diturunkan kepada AS$175 setiap tan daripada AS$255 setiap tan.

 

Kali terakhir kerajaan Indonesia menyemak semula struktur eksport levi pada 10 Disember 2020.

 

Analisis oleh CGS-CIMB mendedahkan bahawa peladang sawit huluan di Indonesia bakal menerima manfaat daripada tarif baharu itu, dan membolehkan penjimatan sehingga AS$80 setiap tan bagi pengeluar MSM di negara itu.

 

Sementara Fitch Ratings menjangkakan pemotongan levi eksport tersebut bakal menggalakkan aktiviti eksport MSM pada separuh kedua 2021 (2H21), seterusnya menyebabkan penanda aras harga di Malaysia melemah.

 

Firma penarafan antarabangsa itu tidak melihat semak turun berkenaan bakal mendatangkan keuntungan jangka panjang, memandangkan harga MSM diunjurkan merosot dengan ketara menjelang suku terakhir tahun ini.

 

“Pemotongan levi eksport dijangka menggalakkan eksport lebih tinggi dari Indonesia pada harga penanda aras MSM Malaysia sekitar AS$900 setan dan menambah baik harga jualan purata seunit buat pengeluar domestik dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” jelas penganalisis Fitch Ratings, Ilham Kurniawan.

 

Tambah Ilham, langkah itu sebaliknya akan menambah tekanan ke atas harga MSM daripada menambah baik output industri. - DagangNews.com