Kadar OPR masih kekal 1.75% - BNM | DagangNews Skip to main content

Kadar OPR masih kekal 1.75% - BNM

KUALA LUMPUR 20 Jan - Bank Negara Malaysia dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75%.

 

Dalam kenyataan, bank pusat itu berkata, pertumbuhan ekonomi global terus pulih, disokong oleh aktiviti perkilangan dan perdagangan manakala keadaan pasaran pekerja juga telah bertambah baik di banyak negara. 

 

Bagaimanapun, katanya, beberapa negara melaksanakan semula langkah-langkah untuk mengekang penularan semula COVID-19 yang sedang berlaku. 

 

"Hal ini menyebabkan kadar pemulihan aktiviti dalam negeri terutamanya perkhidmatan menjadi sederhana sedikit. Inflasi kekal tinggi di beberapa negara, didorong oleh faktor penawaran dan permintaan. 

 

"Prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan kemunculan varian baharu yang membimbangkan, risiko gangguan bekalan global yang berlanjutan dan risiko ketidaktentuan pasaran kewangan yang ketara berikutan pelarasan dasar monetari ekonomi utama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Bagi Malaysia, penunjuk berfrekuensi tinggi yang terkini menunjukkan kegiatan ekonomi kembali pulih pada suku keempat, sejajar dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan. 

 

Pada tahun lalu, pertumbuhan akan berada dalam julat unjuran 3% hingga 4%. Momentum pertumbuhan dijangka semakin meningkat pada tahun ini. 

 

Peningkatan ini dipacu oleh pengembangan permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi berikutan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan. 

 

Menurut BNM, bagaimanapun, prospek risiko terhadap pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan. 

 

Katanya, risiko-risiko ini mungkin muncul daripada pertumbuhan global yang lebih rendah daripada jangkaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan kemunculan varian COVID-19 yang membimbangkan, serius dan kebal vaksin.

 

"Inflasi keseluruhan mencatatkan purata sebanyak 2.3% dari Januari hingga November 2021. Bagi tahun 2022, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api ini luput. 

 

"Sementara itu, inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka meningkat sedikit apabila kegiatan ekonomi kembali normal dalam keadaan persekitaran kos yang tinggi," katanya.

 

BNM berkata, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko pertumbuhan menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi dan dalam pasaran pekerja. 

 

Namun begitu, tambahnya, prospek terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.

 

"MPC menyifatkan pendirian semasa dasar monetari adalah wajar dan akomodatif. Langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan
sokongan kepada kegiatan ekonomi. 

 

"Pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri," jelasnya. - DagangNews.com