Kadar pengangguran 2024 negara diunjur kekal stabil pada paras 3.4%, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran 2024 negara diunjur kekal stabil pada paras 3.4%, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan kadar pengangguran 2024 negara kekal stabil pada paras 3.4%. 

 

Katanya, kadar pengangguran mencatatkan penurunan stabil pada 3.3% pada Disember 2023 selaras dengan pertumbuhan guna tenaga yang stabil (Disember 2023: +2%) mengatasi pertumbuhan tenaga kerja (Disember 2023: +1.8%)

 

"Jumlah penganggur menurun 5.3% dari tahun ke tahun dan 0.2% dari bulan ke bulan (Disember 2023: 587,800; November 2023: 569,200)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, trend guna tenaga yang positif dilihat pada bulan terakhir tahun 2023 mencerminkan asas ekonomi negara yang stabil, didorong oleh pertumbuhan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

 

Kedudukan tenaga buruh terus berkembang sepanjang bulan tersebut, seperti yang ditunjukkan oleh trend yang positif dalam penduduk bekerja dan serentak dengan penurunan dalam bilangan penganggur. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah penganggur catat penurunan kepada 567,800 orang pada Disember 2023 - DOSM

 

Menurut Jabatan Perangkaan, pertumbuhan pekerjaan pada Disember 2023 didorong oleh sektor perkhidmatan seperti maklumat & komunikasi, makanan & minuman dan pengangkutan & penyimpanan, serta pengambilan pekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perlombongan & kuari, tetapi pekerjaan dalam sektor sektor pertanian jatuh.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengangguran belia kekal 10.6% pada Disember 2023 (Nov 2023: 10.6%) dan berada dalam julat 10.6% hingga 10.8% sejak Ogos 2023, oleh itu masih melebihi paras terendah sebelum pandemik 9.9% pada Disember 2019.

 

Pekerjaan/pekerja tidak formal iaitu “Pekerja Akaun Sendiri (iaitu mereka yang berpendapatan harian bekerja sebagai peniaga kecil, penjaja, pengusaha gerai makanan serta pekebun kecil serta pekerja gig) telah meningkat sejak Januari 2021 (2.39 juta).

 

Jumlah itu mencapai paras baharu iaitu 3 juta pada Disember 2023 kerana pertumbuhan dalam pekerjaan tidak formal (2023: +6.5%; 2022: +9.7%) mengatasi jumlah pertumbuhan guna tenaga (2023: +2.4%; 2022: +3.5%). - DagangNews.com