Kadar pengangguran diramal menyusut kepada 3.3% pada 2024, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran diramal menyusut kepada 3.3% pada 2024, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - Kenanga Research meramalkan kadar pengangguran menurun ke paras 3.3% pada 2024 dan berada pada kadar 3.5% pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pasaran tenaga kerja kekal stabil pada Ogos, menunjukkan daya tahan dalam menghadapi kelembapan ekonomi global yang berterusan.

 

Katanya, kestabilan itu disebabkan pertumbuhan guna tenaga yang mampan, disokong oleh inisiatif kerajaan dan pemulihan beransur-ansur dalam aktiviti pelancongan didorong oleh peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong.

 

"Permintaan domestik kekal sebagai tonggak utama yang menyokong pertumbuhan ini.

 

"Pasaran tenaga kerja bersedia mengekalkan kekuatannya sepanjang tahun ini dengan memperluaskan aktiviti pengambilan pekerja.

 

"Ramalan kami kekal tidak berubah, dengan purata kadar pengangguran dijangka mencapai 3.5% pada 2023 (2022: 3.8%) dan terus menurun kepada 3.3% pada 2024. Begitu juga, ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2023 kekal antara 3.5% hingga 4%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Kadar pengangguran menurun 3.4% kepada 577,300 orang pada Ogos 2023 - DOSM

 

Terdahulu, pasaran buruh kekal stabil pada Ogos 2023 dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun. 

 

Bilangan tenaga kerja pada Ogos 2023 bertambah baik, dengan peningkatan 0.1% bulan ke bulan kepada 16.93 juta berbanding 16.91 orang pada Julai 2023. 

 

Kadar penyertaan tenaga kerja Ogos kekal pada 70.1% seperti pada Julai 2023.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bilangan penganggur susut kepada 557,300 (Julai: 579,200), terendah sejak Februari 2020 (525,200), menunjukkan bahawa keadaan pasaran buruh telah beransur-ansur kembali ke tahap prapandemik.

 

Katanya, penganggur aktif jatuh kepada 462,100 (Julai: 464,700), terendah sejak April 2020 (459,800). - DagangNews.com