Kadar pengangguran Malaysia catat penurunan kepada 3.6% pada September 2022 | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran Malaysia catat penurunan kepada 3.6% pada September 2022

KUALA LUMPUR 8 Nov - Kadar pengangguran di Malaysia terus menunjukkan trend penurunan kepada 3.6% pada September 2022, menurun 0.1% berbanding 3.7% pada Ogos 2022.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bilangan penganggur turut mengekalkan trend menurun selama 14 bulan berturut-turut kepada 605,000 orang pada September berbanding 612,000 orang pada bulan sebelumnya.

 

Bagi suku ketiga 2022, kadar pengangguran menurun kepada 3.7%, mencatatkan 611,800 orang, kadar terendah sejak pandemik COVID-19 pada suku kedua 2020.

 

"Bilangan penganggur aktif mencatatkan penurunan 2.1% bulan ke bulan kepada 496,600 orang pada September (Ogos - 507,300 orang), manakala penganggur tidak aktif meningkat 3.5% kepada 108,400 orang berbanding 104,700 orang," katanya.

 

Menurut DOSM, jumlah tenaga kerja dalam negara meningkat 0.2% kepada 16.66 juta orang pada September 2022 berbanding 16.63 juta orang pada Ogos 2022 dengan kadar penyertaan buruh kekal pada 69.7%.

 

dosm

 

Sementara itu, bilangan penduduk bekerja di negara ini terus meningkat sebanyak 0.2% kepada 16.05 juta orang pada September berbanding 16.02 juta orang pada bulan sebelumnya.

 

dosm

 

Komposisi penduduk terbesar bekerja adalah dalam kategori pekerja dengan peratus sumbangan sebanyak 75.9%, bekerja sendiri (17.6%), majikan (3.4%) dan pekerja keluarga tanpa gaji (3.1%).

 

Bilangan luar tenaga buruh, mencatatkan penurunan sebanyak 0.04% kepada 7.24 juta orang dengan 42.9% daripada jumlah itu terdiri daripada kategori kerja rumah atau tanggungjawab keluarga manakala 40.5% dalam kategori sekolah atau latihan. - DagangNews.com