KUALA LUMPUR 26 Jun – Kadar pengangguran di seluruh Malaysia dijangka terus meningkat susulan ekonomi dunia semakin merosot akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Pemantauan Ekonomi Malaysia dari Bank Dunia melaporkan pasaran buruh negara mula terjejas selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kadar pengangguran pada April meningkat sebanyak 5%, sekali gus mencatatkan kadar tertinggi sejak 1990.
Ketua Ekonomi Kumpulan Bank Dunia, Richard Record mengakui kadar pengangguran akan meningkat seiring kemerosotan pertumbuhan ekonomi pada suku pertama dan situasi itu akan lebih teruk pada penguncupan ekonomi semasa suku kedua.
“Saya berpendapat situasi ini menekankan kepentingan langkah tindak balas oleh kerajaan untuk membantu isi rumah yang terjejas dan syarikat-syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menghadapi krisis pengangguran,” katanya semasa pelancaran laporan tersebut yang dijalankan secara dalam talian.
Bagaimanapun, laporan yang dikeluarkan Bank Dunia itu tidak menyatakan unjuran angka terperinci berhubung ramalan kadar pengangguran di negara ini.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Achim Schmillen melihat isu penggunaan tenaga pekerja yang tidak penuh (underemployment) juga perlu diberikan perhatian.
Walaupun ramai individu tidak hilang pekerjaan, namun beliau mendapati kebanyakan mereka dipaksa bekerja kurang daripada tempoh jam yang ditetapkan atau melakukan pekerjaan yang tidak menggunakan kebolehan produktiviti sepenuhnya.
“Disebabkan itu, tindakan pemulihan pekerjaan adalah penting untuk keluar daripada krisis pekerjaan menerusi subsidi gaji yang berterusan dan inisiatif mewujudkan peluang pekerjaan berbanding mengekalkan pekerjaan yang sedia ada,” jelasnya.
Schmillen pada masa sama mengingatkan kerajaan untuk melaksanakan dasar pekerjaan yang proaktif bagi menangani cabaran pasaran buruh yang dihadapi negara ketika ini akibat pandemik Covid-19.