Kadar pengangguran terus menyusut kepada 4.6% | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran terus menyusut kepada 4.6%

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kadar pengangguran Malaysia terus mencatatkan penurunan pada April 2021, menyusut sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 4.6% daripada 4.7% pada bulan sebelumnya, menurut Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM). 

 

Ini sekaligus menyaksikan bilangan penganggur berkurangan sebanyak 10.5 ribu orang (-1.4%) bagi perbandingan bulan ke bulan (m-o-m) kepada 742.7 ribu orang daripada 753.2 ribu orang.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dalam kenyataannya di laman web DoSM berkata, jika dibandingkan dengan bulan yang sama tahun sebelumnya, setelah mencatatkan peningkatan berterusan selama empat belas bulan sejak bermulanya pandemik, kadar pengangguran mencatatkan perubahan negatif tahun ke tahun buat kali pertamanya disebabkan oleh asas kadar pengangguran yang tinggi (April 2020: 5.0%). 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

Dalam tempoh yang sama, kata beliau lagi, bilangan penganggur mencatatkan penurunan sebanyak 4.6% atau bersamaan dengan pengurangan 36.1 ribu orang daripada 778.8 ribu orang. 

 

dosm
Sumber : DoSM

 

“Penganggur aktif yang didefinisikan sebagai mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan meliputi lebih 80% daripada jumlah penganggur. Kategori pengangguran ini berkurang sebanyak 8.2 ribu orang (-1.3%) kepada 618.7 ribu orang (Mac 2021: 626.9 ribu orang). 

 

“Daripada keseluruhan penganggur yang aktif, sebanyak 52.1% adalah penganggur yang menganggur kurang daripada tiga bulan, sementara 10.4% berada dalam pengangguran jangka panjang lebih dari satu jangka panjang iaitu bagi tempoh lebih dari setahun. Purata peratus sumbangan golongan yang menganggur lebih daripada setahun adalah jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, justeru menunjukkan bahawa negara mengalami tempoh yang perlahan dari segi pengambilan penganggur untuk bekerja. 

 

dosm
Sumber : DoSM

 

“Pada bulan tersebut, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun mencatatkan kenaikan 0.3 mata peratus kepada 13.7% berbanding Mac 2021 (13.4%). Sebaliknya, bilangan penganggur belia turun sebanyak 10.4 ribu orang kepada 310.7 ribu orang berbanding bulan sebelumnya (321.1 ribu orang),” ujar beliau lanjut.

 

Tambah Mohd. Uzir, bagi tempoh sama, bilangan penduduk bekerja kekal dalam trend meningkat dengan perubahan m-o-m sebanyak 0.1% atau bersamaan dengan 22.7 ribu orang kepada 15.35 juta orang.

 

Begitu juga, bilangan penduduk bekerja terus meningkat bagi tempoh dua bulan berturut-turut, mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun (y-o-y) yang lebih tinggi sebanyak 2.8% daripada -1.0% atau pertambahan sebanyak 418.6 ribu orang, jelas beliau lagi. 

 

Dari segi penduduk bekerja mengikut sektor ekonomi, Perkhidmatan mencatatkan trend meningkat pada bulan tersebut terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong & runcit; Perkhidmatan makanan dan minuman; Pendidikan; dan Kesihatan kemanusiaan & kerja sosial, menurut Mohd. Uzir.

 

Ujar beliau, trend yang sama juga turut dilihat dalam sektor Pembuatan dan Pembinaan manakala kedua-dua sektor Pertanian dan Perlombongan & Pengkuarian terus mencatatkan momentum negatif m-o-m.

 

“Walaupun begitu, kedudukan positif tenaga buruh pada April 2021 mungkin tidak bertahan lama dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 12 Mei 2021. 

 

“Ketidaktentuan pasaran buruh akan kembali melanda ketika negara berdepan dengan peningkatan mendadak dalam kes baharu. 

 

“Dari sudut yang lebih positif, peluasan program vaksinasi COVID-19 melalui pendaftaran secara sukarela mulai Mei 2021 mungkin akan menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi yang lebih baik, dan seterusnya dalam pasaran buruh,” ujar beliau lanjut. - DagangNews.com