PASIR GUDANG 16 Jan - MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd. (MSM Johor), anak syarikat MSM Malaysia Holdings Berhad menyasarkan kadar penggunaan kilangnya meningkat kepada 50% pada FY24 berbanding 27% pada FY23 didorong penyiapan dandang kedua pada Mei tahun lalu.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSM, Hasni Ahmad berkata, kerja-kerja menukar dandang kedua itu akan meningkatkan produktiviti mereka selain memastikan kilang penapisan mereka kekal mampan.
"Ketika ini kadar penggunaa kami adalah pada paras 40% dan sedang menuju kepada 50%.
"Kami merancang untuk meningkatkan kadar penggunaan itu pada setiap tahun berdasarkan kepada keperluan pasaran.
"Operasi kilang ketika ini berada dalam keadaan stabil dengan kemudahan utama berada dalam keadaan sempurna termasuk dandang, gudang penyimpanan dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan ke kilang MSM Johor, hari ini.
Menerusi lawatan itu, petugas media di bawa melawat ke dalam kilang berkenaan bagi melihat sendiri operasi harian di kilang itu selain diberi penerangan mengenai setiap proses yang dilakukan bermula daripada pembersihan sehingga pembungkusan.
Pada Oktober 2023, dengan menggunakan dandang tunggal, MSM Johor mencatatkan pencairan harian tertinggi yang dicapai pada kadar 1,039 tan pada Oktober dengan kadar penggunaan 34.6%.
Sejumlah 1,308 tan pada November dengan kadar penggunaan 43.6% dan 1,416 tan dengan 47.2% kadar penggunaan pada Disember tahun lalu.
Beliau berkata, selama ini MSM telah membangunkan asas yang kukuh dan terus mengubah model perniagaan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan kemampanan.
Katanya, walaupun berdepan persekitaran mencabar yang berpanjangan dengan kos input yang tinggi disebabkan peningkatan dalam gula mentah global, industri tempatan diyakini kekal berdaya tahan.
"Antara rancangan masa depan MSM Johor adalah untuk menggabungkan inisiatif tenaga hijau seperti biojisim dari tandan kosong kelapa sawit dan pemasangan panel solar untuk menambah keperluan tenaga," katanya. - DagangNews.com