Kadar penghunian kembali stabil, AmInvestment unjur sektor REIT runcit berkembang pesat pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Kadar penghunian kembali stabil, AmInvestment unjur sektor REIT runcit berkembang pesat pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Jan - AmInvestment Bank Research mengunjurkan sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) runcit terus berkembang pesat pada 2024 didorong kadar penghunian yang stabil dan pengembalian sewa yang positif.

 

Katanya, keadaan itu disokong oleh pasaran tenaga kerja yang stabil, kadar inflasi yang lebih sederhana iaitu antara 2.5% hingga 3.5% kesan daripada rasionalisasi subsidi dan kenaikan cukai perkhidmatan selain pemulihan dari segi kehadiran pelancong.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen REIT hospitaliti bersedia untuk mendapat manfaat daripada dasar kerajaan yang bertujuan meningkatkan kembali perkembangan sektor pelancongan.

 

Kemasukan pelancong antarabangsa secara beransur-ansur dijangka menyumbang kepada peningkatan jualan runcit.

"Bagaimanapun ruang pejabat di pusat bandar Kuala Lumpur dijangka berdepan cabaran berterusan disebabkan lebihan bekalan yang memberikan kesan kepada kadar penghunian serta pemulihan sewa.

 

"Saingan daripada ruang pejabat The Stride Strata di Bukit Bintang dan pembukaan The Exchange TRX baru-baru ini menambahkan lagi peningkatan bekalan di Lembah Klang.

 

"Kami juga menjangkakan pengembalian sewa yang mendatar untuk pejabat dan peningkatan terhad dalam kadar penghunian pejabat pada separuh pertama tahun ini memandangkan lebihan bekalan ruang pejabat yang berterusan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, pertambahan bekalan pusat beli-belah khususnya di kawasan Lembah Klang, menimbulkan cabaran bagi pusat membeli-belah terutama yang lebih kecil kerana kesukaran untuk bersaing.

 

Katanya, pusat beli-belah yang lebih kecil itu perlu meningkatkan kadar penghunian menerusi penawaran kadar sewa yang menarik adalah penting.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu. - DagangNews.com