Kadar penyewaan ruang pejabat kekal mendatar akibat lebihan bekalan - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Kadar penyewaan ruang pejabat kekal mendatar akibat lebihan bekalan - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - AmInvestment Bank Research mengunjurkan kadar penyewaan ruang pejabat pada tahun ini kekal mendatar kesan daripada lebihan bekalan yang berterusan serta trend pengaturan kerja yang fleksibel.

 

Katanya, cabaran berterusan untuk pejabat di pusat bandar Kuala Lumpur adalah disebabkan lebihan bekalan yang terus memberi kesan kepada pemulihan dalam kadar penghunian serta kadar penyewaan.

 

"Persaingan daripada ruang pejabat The Stride Strata di Bukit Bintang dan The Exchange TRX menambahkan lagi bekalan ruang pejabat di Lembah Klang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada tahun lalu, untung bersih Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) runcit dipengaruhi kenaikan surcaj tarif elektrik yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

 

Katanya, bagaimanapun keadaan itu diimbangi oleh hasil sewa yang lebih kukuh pada tahun lalu hasil daripada peningkatan ketara dalam jualan penyewa serta peningkatan kehadiran orang ramai di pusat beli-belah.

 

"Kami menjangkakan sektor runcit mengekalkan momentum pertumbuhan hasilnya pada tahun ini berikutan peningkatan penggunaan swasta sebanyak 5.7% pada 2024 berbanding 5.6% pada tahun lalu," katanya.

 

AmInvestment berkata, mengunjurkan menjangkakan REIT runcit akan terus mengalami pertumbuhan positif pada 2024, didorong kadar penghunian yang stabil dan pengembalian sewa yang positif.

 

Katanya, ia disokong oleh pasaran tenaga yang stabil, kadar inflasi antara 2.5% hingga 3.5% kesan rasionalisasi subsidi dan kenaikan cukai perkhidmatan, ditambah dengan pemulihan beransur-ansur yang berterusan dari segi kehadiran pelancong.

 

Sementara itu, segmen REIT hospitaliti bersedia untuk mendapat manfaat daripada dasar kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan pelancongan. 

 

"Kemasukan beransur-ansur pelancong antarabangsa kembali ke tahap pra pandemik dijangka menyumbang kepada peningkatan jualan runcit.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' dengan kadar penghunian yang stabil merentas aset utama (runcit, pejabat dan hospitaliti)," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menetapkan saranan 'beli' terhadap Pavilion REIT dengan harga wajar (FV) RM1.64 sesaham dengan pendapatannya kekal berdaya tahan disokong oleh Pavilion Kuala Lumpur dan Elite Pavilion Mall yang merupakan kawasan tumpuan pelancong. - DagangNews.com