Kadar sewa rumah terus naik, purata RM3,192 sebulan di KL, RM1,851 di Selangor - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Kadar sewa rumah terus naik, purata RM3,192 sebulan di KL, RM1,851 di Selangor - Juwai IQI

Indeks Sewa Kediaman Malaysia yang dikeluarkan Juwai IQI buat julung-julung kalinya mendapati, kadar sewa kediaman tertinggi yang direkodkan adalah di Kuala Lumpur dengan purata RM3,192 sebulan.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Jan - Kadar sewa rumah kediaman di seluruh negara meningkat 5.5 peratus pada 2023 berbanding tahun sebelumnya dengan kadar sewa purata nasional mencecah RM1,975 sebulan.

 

Berdasarkan Indeks Sewa Kediaman Malaysia yang dikeluarkan Juwai IQI buat julung-julung kalinya mendapati, kadar sewa kediaman tertinggi yang direkodkan adalah di Kuala Lumpur dengan purata RM3,192 sebulan.

 

Menurut firma teknologi hartanah itu, kadar tersebut berbeza dengan Selangor yang mencatatkan purata RM1,851 sebulan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, kadar sewa kediaman berbeza dengan ketara mengikut wilayah.

 

"Kadar sewa rumah di Kuala Lumpur pada akhir 2023 adalah 28.4% melebihi kadar yang dicatatkan pada Q4 2022, walaupun masih 29% di bawah paras sebelum COVID-19. 

 

"Pasaran sewa kediaman di Selangor pula lebih stabil, berakhir pada 2023 dengan 10.7% lebih tinggi berbanding Q4 2022 dan 5% di atas Q4 2019, menunjukkan pasaran yang stabil serta jangkaan pertumbuhan sederhana," katanya.

 

juwai
Kashif Ansari

 

Menurut Kashif, indeks sewa yang diterbitkan pihaknya menganalisis lebih 58,000 urus niaga sewa kediaman sejak tahun 2018.

 

Katanya, data tersebut mencadangkan peralihan ke arah pemulihan dengan Indeks Sewa Kediaman Malaysia mencapai tahap tertinggi dalam hampir tiga tahun - sejak awal 2020.

 

kadar
Kadar sewa rumah kediaman di Kuala Lumpur mengatasi kadar nasional dan Selangor pada Q4 2023.

 

"Sewa kini 7.4% lebih tinggi berbanding ketika era pandemik yang merupakan fasa terburuk pasaran.

 

“Pada suku keempat tahun lalu, sewa turun 1.2% berbanding suku ketiga, tetapi masih mengakhiri tahun 2023 dengan 5.5% lebih tinggi berbanding Q4 2022," kata Kashif.

 

Bagi tahun 2024, Kashif berkata, pihaknya menjangkakan permintaan sewa akan terus berkembang terutama di kawasan pusat bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

 

"Selain itu, dengan pelawat luar dan tempatan yang terus meningkat, Malaysia akan menyaksikan peningkatan penghuni jangka panjang, penyewa jangka pendek dan penuntut antarabangsa yang akan menyumbang kepada peningkatan permintaan sewa," katanya.- DagangNews.com