Kajian semula dasar fintech bakal dipertimbang, kata Mohd. Shahar | DagangNews Skip to main content

Kajian semula dasar fintech bakal dipertimbang, kata Mohd. Shahar

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kerajaan bakal membuat pertimbangan untuk mengkaji semula dasar yang telah diguna pakai dalam sektor fintech bagi menangani beberapa isu berkaitan. 

Timbalan Menteri Kewangan Mohd. Shahar Abdullah berkata, ini termasuk menangani jurang teknologi antara generasi, kesediaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menggunakan perkhidmatan kewangan digital serta membangunkan ekonomi halal menerusi platform digital. 

“Saya ingin meyakinkan anda bahawa kerajaan komited ke arah memastikan setiap rakyat mempunyai peluang yang sama untuk mengakses perkhidmatan kewangan,” katanya dalam ucaptama laporan Bank Dunia, ‘Islamic Finance and Financial Inclusion in Malaysia’ dan 'Leveraging Islamic Fintech to Improve Financial Inclusion' seperti dilaporkan Bernama.

 

Mohd. Shahar

 

Jelas beliau, Malaysia menyaksikan perkembangan fintech yang baik dan lebih 85% penduduk berusia 15 tahun dan ke atas mempunyai akses ke akaun kewangan. 

Dalam pada itu, Mohd. Shahar berkata, Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai perintis dalam kewangan Islam di peringkat global dengan mempunyai 20% aset kewangan Islam pada tahun 2019. 

Malah, Malaysia turut mengekalkan kedudukannya sebagai penerbit sukuk teratas, merangkumi 36.8% daripada keseluruhan sukuk global pada tahun 2019.

“Beberapa faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini seperti pelaksanaan inisiatif strategik meliputi perbankan, takaful/insurans, pasaran modal dan kewangan alternatif yang ditandai oleh kesinambungan dan koordinasi dasar antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang berlainan dalam jangka masa tertentu,” ujar beliau.

Tambah beliau, kerangka sedia ada bagi kewangan sosial Islam secara berkesan memberi manfaat dalam menghubungkan wakaf, zakat dan sedekah dengan institusi kewangan bagi meningkatkan kebolehcapaian dan kutipan dana. - DagangNews.com