'Kaki judi' Malaysia penyumbang utama pemulihan Resort World Sentosa | DagangNews Skip to main content

'Kaki judi' Malaysia penyumbang utama pemulihan Resort World Sentosa

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Penjudi Malaysia dijangka menjadi pengunjung terawal kasino di Singapura terutamanya Resort World Sentosa (RWS), sekaligus menyumbang kepada keuntungan pusat tarikan itu.

Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) menjangkakan pasaran umum RWS akan kembali pulih lebih cepat berbanding pasaran VIP dengan pengunjung tempatan dan Malaysia menjadi penyumbang utama. 

“Maybank IB berpendapat, pengunjung Indonesia tidak mungkin akan mengunjungi RWS memandangkan kes COVID-19 di negara itu kian meningkat.

“China pula tidak dapat ditentukan lagi kerana negara itu masih berhati-hati untuk membuka sempadannya, walaupun di kawasan zon hijau,” jelas laporan Maybank IB.

Maybank IB menyasarkan kumpulan syarikat milik RWS, Genting Singapura akan mengalami kerugian bersih SG$214.6 juta pada penghujung tahun ini. 

Setelah diarahkan tutup selama tiga bulan bagi mengekang penularan COVID-19 di negara itu, RWS kembali beroperasi bermula 1 Julai lalu.

Baca : Singapore’s Resort World cut staffs as COVID-19 hit

Seperti ekonomi lain yang terjejas akibat pandemik berkenaan, RWS turut dibebani isu sama dengan hampir 2,000 pekerjanya dilaporkan terpaksa diberhentikan.

Dalam pada itu, pengunjung VIP Malaysia sebelum ini menyumbang kepada satu perempat jumlah pengunjung di RWS. 

Malaysia juga pernah mendominasi pasaran besar antarabangsa RWS.

“Malaysia berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19. Malah, Singapura dan Malaysia juga bersetuju untuk membuka semula sebahagian sempadan kedua-dua negara bermula 10 Ogos hadapan,” tambah Maybank IB. - DagangNews.com