Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 15 Dis. - Seorang kakitangan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) dari Pejabat Operasi Lebuhraya Kajang SILK (SILK) disahkan positif COVID-19.
Prolintas dalam satu kenyataan berkata, kakitangan tersebut telah didapati positif pada 14 Disember 2020 dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.
"Prolintas menerusi Pasukan Respons Covid-19 telah melaksanakan usaha pengesanan kontak rapat bagi kakitangan yang dijangkiti dan semua rakan sekerja yang berhubung secara langsung dengan pekerja terbabit diarahkan untuk kuarantin diri di rumah selama 14 hari dan menjalani ujian swab.
"Pasukan Respons COVID-19 juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan susulan
tambahan yang mungkin diperlukan," jelas Prolintas.
Dalam kenyataan yang sama, Prolintas memberitahu, proses pembasmian kuman dan pembersihan telah dijalankan mengikut ketetapan oleh KKM di Pejabat Operasi SILK dan kesemua plaza tol.
Operasi tol bagaimanapun dimaklumkan tidak akan terganggu.
"Prolintas ingin meyakinkan pengguna jalan raya bahawa tidak akan ada gangguan pada operasi tol dan semua pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi segala perintah pergerakan dan garis panduan SOP dari pihak berkuasa," tambah Prolintas lagi. - DagangNews.com