Kakitangan Supermax dapatkan semakan kehakiman perjanjian pembekalan perkhidmatan kesihatan UK | DagangNews Skip to main content

Kakitangan Supermax dapatkan semakan kehakiman perjanjian pembekalan perkhidmatan kesihatan UK

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 Jan - Pekerja di syarikat pembuat sarung tangan Malaysia Supermax Corp akan mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan Britain yang meluluskan syarikat itu, yang dituduh menggunakan buruh paksa, sebagai pembekal kepada Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS), kata peguam.

 

Langkah itu dibuat selepas Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober mengharamkan import daripada Supermax atas dakwaan penderaan buruh. 

 

Kanada juga telah menangguhkan kontraknya dengan syarikat itu kerana kebimbangan yang sama.

 

Menurut laporan Reuters, Wilson Solicitors yang berpangkalan di London berkata, ia telah meminta rantaian bekalan NHS Britain untuk mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat pada Disember untuk menganugerahkan Supermax dengan perjanjian rangka kerja untuk membekalkan peralatan perlindungan diri, memetik kebimbangan terhadap usaha wajar kerajaan berdasarkan dakwaan buruh paksa.

 

"Keperluan undang-undang adalah jelas bahawa perlu ada pengesahan sebenar pembekal sebelum peringkat penganugerahan, tetapi tidak jelas sama ada keperluan ini telah dipenuhi," kata Nusrat Uddin, peguam utama firma guaman itu dalam satu kenyataan. 

 

Permintaan untuk semakan kehakiman dijangka difailkan di Mahkamah Tinggi London pada Jumaat (7 Januari). Supermax dan Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial Britain bagaimanapun tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

 

Supermax berkata minggu ini ia akan memperkenalkan dasar pengurusan pekerja asing baharu dan mempertingkat dasar sumber manusia semasa sebagai tindak balas kepada dakwaan itu. 

 

Syarikat itu, yang telah membekalkan berjuta-juta sarung tangan getah kepada NHS di bawah perjanjian awal, adalah antara lima pembuat sarung tangan Malaysia yang menghadapi larangan AS ke atas produk mereka dalam dua tahun lepas kerana disyaki mengamalkan buruh paksa. 

 

Kerajaan Britain pada November berkata ia membuat pesanan pada Julai untuk 135 juta sarung tangan dengan kos £7.9 juta (RM45.03 juta). -DagangNews.com