Kalendar besar bentuk kecemerlangan Chow Heng Yee rangkul dua anugerah UPM | DagangNews Skip to main content

Kalendar besar bentuk kecemerlangan Chow Heng Yee rangkul dua anugerah UPM

 

SERDANG 13 Jan -  Sekeping kalendar besar yang mencatatkan aktiviti harian dan penting baginya menjadi "rahsia kejayaan" graduan Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia, Chow Heng Yee, untuk mencatatkan kecemerlangan sepanjang pengajiannya di Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Anak kepada pemandu e-hailing itu mendedahkan kalendar besar yang ditampal di bilik asramanya itu membantu dirinya menguruskan masa dengan efektif bagi memastikan pelajaran dan kehidupan luar kuliah dapat diseimbangkan dengan baik.

 

Berasal dari Seri Kembangan, Selangor, Chow, 26, mencatat keputusan cemerlang dengan Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) 3.95 dan mencipta sejarah apabila merangkul dua anugerah universiti pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-44.

 

Chow menerima Anugerah Pelajaran Diraja Bukan Bumiputra  pada sesi kelima konvokesyen hari ini daripada Tuanku Canselor UPM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Anugerah Tun Abdul Razak daripada Pro Canselor UPM Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim pada sesi pertama Sabtu lepas.

 

"Saya tidak suka buat kerja saat akhir. Kehidupan saya yang aktif memerlukan saya merancang segala aktiviti harian saya dengan teratur bagi memastikan tugas hakiki saya sebagai pelajar dapat dilaksanakan dengan baik," katanya kepada Bernama hari ini.

 

"Di kalendar itu, saya akan mencatatkan semua perancangan aktiviti termasuk tarikh peperiksaan, ujian dan kuiz serta aktiviti-aktiviti luar kelas yang lain. Prinsip saya mesti mengulang kaji pelajaran selewat-lewatnya seminggu sebelum hari ujian.

 

"Saya lihat kenapa ada pelajar yang tidak boleh ikut adalah kerana suka buat kerja atau belajar saat akhir," katanya.

 

Pernah memegang jawatan Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2018/2019, anak kedua dari tiga adik-beradik  itu pernah menimba pengalaman sebagai peserta Felo Perdana di bawah Menteri Sumber Manusia.


 

UPM

 

UPM

 


Menyifatkan pengalamannya menjadi peserta program itu sebagai sangat berharga kerana dapat mengaplikasikan pengetahuannya tentang selok-belok  bidang sumber manusia dalam sektor kerajaan untuk memohon kerja dalam bidang itu di sektor swasta.

 

Chow, yang kini bertugas di Bahagian Sumber Manusia di sebuah kilang pembuat sarung tangan, berkata selain pengurusan masa, beliau percaya dirinya bertuah kerana dipantau dua mentor sepanjang pengajiannya di UPM.

 

Mentor pertamanya ialah Timbalan Dekan Akademik Fakulti Ekologi Manusia Profesor Rumaya Juhari, yang memastikan keputusan peperiksaannya setiap semester sentiasa di paras cemerlang kerana menyedari Chow adalah seorang yang sangat aktif dalam kegiatan luar kelasnya dan rajin membantu pelajar itu setiap kali ada kemusykilan dalam pelajaran.

 

Kaunselor Zaim Rosli yang merupakan mentor keduanya pula, sentiasa menjadi rujukannya setiap kali beliau ada masalah sama ada dalam pelajaran mahupun ketika dirinya di tahap motivasi yang rendah.

 

"Mereka berdua sangat membantu saya sepanjang pengajian saya. Dan saya percaya anugerah yang saya dapat ini pun kerana saya dibimbing oleh mereka berdua, selain dorongan berterusan daripada keluarga," kata Chow yang pernah menjadi guru sukarelawan di Kemboja selama enam bulan. - DagangNews.com