Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Sept. - Media Prima Berhad dijangka meraih sumbangan kewangan yang minimum daripada platform penstriman filem kumpulan, tonton CINEMA yang dilancarkan pada Mac tahun ini.
Ini berikutan kandungan filem yang tersenarai kebanyakkannya sudah lapuk dengan harga jualan rendah bermula RM1.90 untuk setiap tayangan, menurut penganalisis di AmInvestment Bank, Lee Ching Poh.
Namun, Ching Poh menjangkakan segmen penyelesaian pemasaran bersepadu dan perkhidmatan kreatif Media Prima, Omnia akan memberi sumbangan yang positif seterusnya unjuran perolehan kumpulan pada tahun kewangan 2021 (FY21) ditingkatkan sebanyak 32% kepada RM41 juta.
“Transformasi Media Prima dipacu oleh penyelesaian pemasaran dan kreatif bersepadu Omnia yang menawarkan akses di satu tempat untuk penyiaran, penerbitan, digital, media luar dan kandungan.
“Ini telah menarik minat perusahaan yang kukuh seperti mana dicerminkan dalam pertumbuhan hasil kumpulan sebanyak 15% pada suku kedua FY21 (2QFY21) berbanding suku tahun sebelumnya,” jelas beliau dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Sementara, perbelanjaan pengiklanan (adex) dalam surat khabar juga, menurut Ching Poh, dilihat stabil memasuki separuh pertama FY21 (1HFY21) selepas memulih dengan ketara bermula 4QFY20 daripada paras terendah pada 2QFY20.
Memandangkan sekatan pergerakan COVID-19 mula dilonggarkan, katanya, pemulihan adex dijangka utuh sekali gus menjadikan segmen penerbitan kekal menguntungkan.
“Ini berkemungkinan dipacu oleh kerjasama pencetakan Media Prima dengan lapan penerbit komersial luaran yang akan melonjakkan hasil pencetakan dan pengedaran surat khabar untuk segmen penerbitannya sementara dapat mengurangkan impak penurunan jualan surat khabar global,” tambah Ching Poh.
AmInvest mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham Media Prima dengan nilai wajaran tidak berubah pada kadar RM0.75 sesaham.
Setakat 11.33 pagi, harga saham Media Prima menyusut 1.5 sen kepada 48.5 sen. - DagangNews.com