SEIRING dengan peningkatan kewujudan pencipta kandungan dalam industri, maka, terdapat keperluan penting untuk mewujudkan ekosistem kandungan yang lebih efektif.
Kebergantungan pada kawalan pihak ketiga semata-mata bukan lagi pilihan yang berdaya maju, terutamanya apabila sesiapa sahaja boleh menjadi pencipta kandungan dalam alam digital, di mana kemahuan untuk mendapatkan lebih banyak klik dan tontonan semakin berleluasa.
Untuk memudahkan dan menggalakkan tabiat kawal selia kendiri, Forum Kandungan secara rasmi melancarkan Kod Kandungan 2022 yang baharu dan diperbaharui, sebuah garis panduan yang menggariskan amalan terbaik dan piawaian etika untuk mencipta dan memilih kandungan.
Kod yang pertama kali diwujudkan pada tahun 2004 di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), baru-baru ini telah dirombak semula seiring dengan arus perubahan zaman di samping mencetuskan perbualan penting dalam kalangan pengguna hari ini.
Ini termasuk sesi perundingan awam di seluruh negara yang telah mengumpulkan maklum balas orang ramai melalui beberapa sesi dialog awam bersama pemain industri dan orang ramai.
Hasilnya, beberapa garis panduan utama telah ditambah baik ke dalam Kod bagi menangani isu-isu berkaitan industri kandungan yang semakin meningkat, termasuk
- eksploitasi agama dalam produk pengiklanan,
- pelaporan berita bunuh diri yang beretika,
- pengiklanan oleh pempengaruh,
- menangani kebimbangan mendesak mengenai pengiklanan untuk kanak-kanak,
- menangani penganiayaan dalam talian dan keganasan berasaskan jantina, dan
- kebolehcapaian kandungan untuk orang kurang upaya (OKU).
Dengan adanya garis panduan ini, penyebaran kandungan berbahaya dan maklumat yang salah dapat dielakkan dengan lebih berkesan.
Untuk memberi sedikit pencerahan mengenai kepentingan kawal selia kendiri dan Kod Kandungan 2022, sesi dialog bertajuk 'Kandungan: Siapa yang Mengawal?' telah diadakan bersempena dengan pelancaran Kod. Dianjurkan oleh Forum Kandungan, ahli panel daripada pelbagai bidang dalam industri kandungan berkongsi pengalaman dan pandangan mereka tentang peraturan kandungan.
Panel tersebut dibarisi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang Dilantik Astro, Euan Smith,; Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood; Pengarah Dasar Awam Netflix; Ruben Hattari; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV Media Prima Nini Yusof dan Pengurus Negara iQiyi, Dinesh Ratnam.
Secara keseluruhannya, ahli panel bersetuju bahawa kawal selia kendiri adalah penting ke arah membina landskap kandungan yang lebih teguh dan sihat di Malaysia, sekali gus meletakkannya setanding dengan amalan terbaik global.
Walaupun terdapat perubahan membabitkan cara kandungan dicipta dan digunakan dalam era teknologi ini berbanding dengan media tradisional, ahli panel percaya bahawa ruang kandungan yang luas ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri kerana ia mewujudkan lebih banyak ruang untuk fleksibiliti, penciptaan kandungan dan kebebasan bersuara.
Namun ia mesti diselia dan dipilih susun melalui kawal selia kendiri untuk pertumbuhan industri kandungan yang lebih sihat.
Euan Smith berkata, pihaknya adalah penggemar tegar kawal selia kendiri, dan sudah melakukannya sejak tahun 2004.
“Kami memandang serius akan perkara ini dan sentiasa memastikan garis panduan kod dipatuhi untuk mengekalkan piawaian editorial yang baik.
“Kami sangat menyokong kawal selia kendiri kerana ia berkesan dan memberikan editorial lebih kebebasan dan fleksibiliti untuk mencipta kandungan yang selamat,” kata beliau.
Tambahan pula, Euan melihat kemunculan platform kandungan baharu seperti OTT, TikTok dan YouTube sebagai peluang dan bukannya ancaman kepada TV berbayar tradisional kerana ia membolehkan mereka mengembangkan kandungan dan meluaskan jangkauan mereka.
“Ia telah membolehkan kami membangunkan platform kami dengan lebih banyak pengagregatan kumpulan aplikasi dan memberikan kami peluang untuk mengambil nafas baharu daripada penyedia TV satelit kepada sesuatu yang lebih pelbagai.
“Kami sentiasa mengintai peluang dan persaingan, namun apa yang kami sebenarnya minta adalah sebuah medan persaingan yang sama rata. Di sinilah kawal selia kendiri memainkan peranan,” katanya.
Turut menyuarakan pendapatnya adalah ialah Ruben Hattari, yang sangat percaya bahawa setiap orang bertanggungjawab ke atas kandungan yang dicipta, oleh itu, peraturan kendiri adalah satu kemestian.
“Di Netflix, kami mempunyai tanggungjawab tertentu untuk memastikan kepercayaan itu masih ada sebagai perintis dalam penstriman video. Saya rasa intipati di sini adalah kawal selia kendiri.
“Akhirnya orang ramai akan menyedari bahawa sebagai sebuah platform, kami ada semua langkah untuk menolak kandungan berdasarkan kod amalan yang betul, dan secara kolektif sebagai industri. Pelanggan kami juga dilindungi dengan baik daripada kandungan yang tidak sepatutnya ditonton,” katanya.
Menurut beliau, tidak ada apa-apa yang kekal dalam industri media kerana ia sentiasa berkembang dan terpulang kepada mereka untuk menyesuaikan perniagaan dan perkhidmatan mereka mengikuti peredaran zaman.
”Kami mendapati bahawa jenis kandungan yang terbaik tidak lagi hanya datang dari Hollywood. Jumlah kandungan tempatan juga semakin meningkat. Menerusi pelbagai karya yang bakal diterbitkan Malaysia tidak lama lagi, saya percaya bahawa adanya peluang untuk memasarkan kandungan kita ke peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Dinesh Ratnam daripada platform global iQiyi berkata bahawa peraturan kendiri telah membolehkan mereka mengambil pengaruh global dan menggabungkannya dengan budaya tempatan.
“Kami adalah platform global yang turut melabur dalam kandungan tempatan, kami mendapati bahawa kawal selia kendiri telah membolehkan kami menggabungkan pengaruh global dan tempatan dengan adanya garis pemisah yang jelas perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Kewujudan garis dasar dan prinsip-prinsip tertentu untuk dipatuhi adalah tepat dan selaras dengan keperluan industri kandungan Malaysia mekar dan berkembang,” katanya.
Tambahnya, kawal selia kendiri sememangnya penting, terutamanya untuk video pendek seperti yang terdapat di TikTok.
“Kemunculan video-video pendek semakin bertambah; ia menunjukkan peningkatan yang stabil. Orang ramai boleh menghabiskan masa berjam-jam di TikTok untuk menonton video pendek yang mungkin sesuai ataun tidak sesuai untuk diltonton.
“Bagi saya, kandungan adalah seperti bufet makanan. Sesetengah kandungan mungkin disukai, ada yang tidak digemari dan ada juga gabungan kandungan. Dengan iQiyi, ramai orang menggunakan kandungan kami di TikTok – pada asasnya kandungan dihasilkan pengguna yang mendapat jutaan tontonan. Ia satu perkara yang baik kerana kami juga boleh meluaskan jangkauan kami,” katanya.
Sementara itu, Nini Yusof memuji Forum Kandungan atas penghasilan Kod Kandungan, kerana tanpa kod itu, para pemain industri berkemungkinan akan buntu memikirkan mengenai jenis kandungan yang sesuai untuk ditayangkan.
“Kami menghasilkan kandungan baharu sebanyak 5,000 jam setiap tahun dan mustahil untuk kami menghantar kesemua kandungan tersebut kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia untuk mendapat kelulusan. Di sinilah kawal selia kendiri boleh memainkan peranan kerana kami perlu bertanggungjawab ke atas kandungan yang kami cipta,” katanya.
Beliau juga mengalu-alukan kemunculan media baharu sebagai sebuah perkembangan yang menarik dalam industri.
“Yang pertama, ia memberikan kami akses kepada jenis kandungan baharu dan kedua, kami mempunyai akses kepada pencipta kandungan baharu yang berbeza daripada syarikat produksi yang biasa kami libatkan.
“Selain itu, kami melihat kepelbagaian untuk pengiklan bekerjasama bersama kami dan belajar daripada pencipta bebas,” katanya dan seterusnya memuji Kod Kandungan kerana turut merangkumi pempengaruh yang kini memainkan peranan penting dalam komunikasi pemasaran.
Dialog itu turut diserikan lagi dengan soalan daripada penonton, yang kebanyakannya bertanya tentang peranan penapisan negara dalam berdepan peraturan kendiri.
Ramai yang beranggapan bahawa penapisan negara dan kawal selia sendiri adalah dua perkara yang bertentangan antara satu sama lain dan konsep tersebut adalah kurang tepat.
Mediha Mahmood berkata, kawal selia kendiri diperkenalkan secara global untuk industri kandungan bagi menangani pelbagai permintaan, keutamaan dan tahap toleransi pengguna individu.
Ia membolehkan para pengguna membuat pilihan sendiri berkaitan dengan kandungan yang didapati daripada lambakan pilihan di luar sana.
“Walau bagaimanapun, terdapat kandungan tertentu yang melanggar undang-undang dan tidak sepatutnya diterbitkan seperti kandungan cetak rompak, pornografi, eksploitasi kanak-kanak, kandungan yang menghasut kebencian dan keganasan.
“Di sinilah kerajaan terus memainkan peranan yang sangat penting untuk melindungi masyarakat dan memastikan ekosistem kandungan kekal selamat.” Kata beliau.
Turut hadir pada pelancaran acara itu adalah wakil daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berpendapat bahawa rombakan Kod Kandungan adalah tepat pada masanya untuk menangani pelbagai isu yang timbul selama ini.
“Kami berharap Kod Kandungan baharu 2022 akan memperkasa landskap kandungan Malaysia. Terima kasih kepada organisasi seperti Forum Kandungan, yang komited untuk memudahkan pengawalseliaan kendiri dan kandungan selamat.
Sejak dari awal lagi, Forum Kandungan telah komited untuk memastikan Kod Kandungan kekal relevan dan progresif. Saya pasti bahawa kita akan melihat lebih banyak perubahan dalam Kod pada masa hadapan apabila adegan kandungan berkembang dan timbul isu baharu.
Ini juga selaras dengan visi MCMC untuk mewujudkan industri yang berdaya saing, cekap, dan semakin mengamalkan kawal selia kendiri untuk terus mendahului perubahan zaman, kata MCMC.
Kod Kandungan 2022 telah didaftarkan secara rasmi dan berkuat kuasa pada 9 Jun 2022 dan boleh didapati di laman rasmi Forum Kandungan.
Sila layari www.contentforum.my atau ikuti mereka di platform media sosial @mycontentforum untuk maklumat lanjut mengenai Forum Kandungan dan Kod Kandungan. – DagangNews.com