Kapal OPV APMM lakukan ujian di laut, aset dijangka diserahkan tahun ini setelah lama tertangguh | DagangNews Skip to main content

Kapal OPV APMM lakukan ujian di laut, aset dijangka diserahkan tahun ini setelah lama tertangguh

OPV 1 tanpa meriam utama pada bahagian hadapan kapal.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 4 Okt - Proses penyerahan kapal ronda pesisir (OPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dijangka boleh dibuat tahun ini apabila aset tersebut sedang menjalani fasa ujian di laut.

 

Difahamkan OPV 1 telah melakukan pelayaran sejak bulan lalu melibatkan peringkat-peringkat tertentu untuk menguji sistem kapal tersebut.

 

Ujian-ujian ini bagi memastikan keupayaan dan kemampuan setiap peralatan mencapai tahap terbaik serta mengikut standard ditetapkan.

 

OPV dengan nombor penant 8305 itu ketika ini berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk melaksanakan ujian pada sistem persenjataan utama kapal iaitu meriam Aselsan SMASH 30mm RWS.

 

Opv
OPV 1 semasa melakukan ujian pelayaran (gambar media sosial).

 

Ujian penembakan bagi meriam 30mm buatan Turkiye ini bakal dilaksanakan di sekitar perairan Lumut.

 

Kapal peronda KM Bagan Datuk semasa ujian penerimaan enam tahun lalu juga telah menguji meriam 30mm di kawasan perairan sama.

 

Sebelum ini, kelewatan menerima dan memasang meriam tersebut dikatakan menjadi punca kelewatan penyerahan OPV 1 sehingga terpaksa ditangguhkan tiga kali.

 

Justeru, berdasarkan pada perkembangan mutakhir OPV 1 mendekatkan lagi kemungkinan kapal yang merupakan aset terbesar dalam armada APMM ini diserahkan pada Oktober ini atau November.

 

Lawatan
Timbalan Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Pertama Fadhil Abdul Rahman (kanan) semasa menerima kunjungan Pengarah Projek OPV 1 APMM, Laksamana Pertama (M) Hamizan Harun di Lumut. Kelihatan di belakang ialah kapal OPV 1 sedang berlabuh. 

 

Jika mengikut kontrak asal, OPV 1 sepatutnya diserahkan pada tahun 2020 diikuti dua kapal berikutnya iaitu OPV 2 dan OPV 3 masing-masing setahun selepas itu.

 

Kontrak pembinaan tiga OPV ini dianugerahkan kepada syarikat tempatan, THHE Destini dengan kos RM738.9 juta sebelum projek tersebut berdepan masalah.

 

Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) kemudian memutuskan keputusan untuk mengambil alih projek OPV 1 pada Januari lalu selepas dikesan menghadapi masalah besar.

 

Meriam
Meriam Aselsan 30mm pada OPV 1.

 

Aset
Sebahagian kelengkapan yang ada pada OPV 1 APMM.

 

Suntikan pinjaman RM152.6 juta diberikan menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.

 

Adalah diharapkan OPV 1 dapat melepasi ujian-ujian pada fasa akhir ini seterusnya kapal diserahkan kepada APMM untuk ditugaskan mengawal perairan negara.

 

Begitu juga dua kapal seterusnya dengan memastikan isu kelewatan yang timbul semasa pembinaan OPV 1 telah diatasi.- DagangNews.com