Kapten Chester Voo, Farouk Kamal dilantik sebagai Timbalan CEO AirAsia Aviation baharu | DagangNews Skip to main content

Kapten Chester Voo, Farouk Kamal dilantik sebagai Timbalan CEO AirAsia Aviation baharu

Datuk Kapten Chester Voo (kiri) dan Farouk Kamal
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SEPANG 8 Jan - AirAsia Aviation Group Ltd mengumumkan pelantikan barisan kepimpinan utamanya iaitu Datuk Kapten Chester Voo sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan (Operasi Penerbangan) dan Farouk Kamal sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Korporat). 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pelantikan barisan kepimpinan utama itu menandakan kejayaan penting dalam evolusi syarikat penerbangan ini yang akan membawa AirAsia lebih tinggi dalam transformasi digital, inovasi dan pertumbuhan lebih mampan. 

 

Katanya, kerjasama antara kedua-dua pemimpin itu akan membolehkan pihaknya terus fokus untuk menjana keputusan strategik, perancangan jangka panjang dan hala tuju keseluruhan organisasi untuk syarikat.

 

"Gabungan individu berpengalaman ini bersama pasukan sedia ada dijangka dapat meningkatkan inovasi dan mendorong kami ke arah kejayaan berterusan. 

 

"Saya yakin dengan pengalaman berharga yang dimiliki oleh Kapten Chester dan Farouk, di dalam dan luar AirAsia akan menjadi aset bernilai bagi mencapai matlamat jangka pendek, sederhana dan jangka panjang kami," katanya ketika sesi taklimat media di AirAsia Red Q di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif AirAsia Aviation, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan CEO Kumpulan AirAsia Aviation, Bo Lingam.

 

Sementara itu, Chester pula berkata, ia merupakan satu penghormatan untuk menggalas tanggungjawab itu pada masa yang penting dalam perjalanan AirAsia. 

 

 

airasia

 

 

Katanya, fokus kepada kecekapan, pengurangan risiko dan peningkatan prestasi akan menjadi aspek penting dalam menangani cabaran dan peluang yang menanti untuk membentuk masa depan AirAsia Aviation Group. 

 

"Industri penerbangan berkembang dengan cepat dan saya bersedia untuk memastikan AirAsia terus menetapkan aras baharu dalam semua aspek operasi kami," katanya.

 

Farouk pula berkata, seiring dengan persiapan AirAsia dalam memulakan fasa pertumbuhan baharu, fungsi korporat memainkan peranan penting dalam keseluruhan strategi dan kejayaan syarikat penerbangan itu. 

 

 

airasia

 

 

"Dengan penyelarasan matlamat dan visi yang lebih luas dalam syarikat ini, kami akan melaksanakan strategi yang bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan kewangan syarikat, tetapi juga kepada reputasi kecemerlangan dan inovasinya. 

 

"Saya berharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan berterusan AirAsia bukan sahaja di peringkat ASEAN, malah di peringkat yang lebih tinggi," katanya.

 

Syarikat penerbangan itu menambah, Chester akan memimpin operasi penerbangan dengan fokus dalam mengoptimumkan dan meningkatkan kecekapan fungsi utama syarikat penerbangan tersebut serta mengenal pasti dan meminimumkan risiko yang berpotensi bagi memacu prestasi keseluruhan syarikat penerbangan. 

 

Katanya, berdasarkan rekod prestasi yang kukuh dalam industri penerbangan, termasuk lebih 11 tahun bersama AirAsia, dan berkhidmat dalam jawatan kepimpinan sebagai CEO Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), beliau membawa pengalaman yang luas dalam peranan ini.

 

"Farouk Kamal pula akan bertanggungjawab dalam fungsi korporat yang merangkumi perkhidmatan kewangan, kewangan korporat, pajakan pesawat, undang-undang, hubungan pelabur dan strategi. 

 

"Beliau juga akan mengawasi jabatan audit dalaman dan pengurusan risiko untuk kumpulan penerbangan. Beliau menyertai syarikat penerbangan ini dari Urusharta Jamaah, sebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), yang mana beliau berkhidmat sebagai CEO dan ketua pegawai pelaburan. 

 

"Sebelum itu, beliau berkhidmat dalam jawatan Perbankan Pelaburan di Deutsche Bank, J.P. Morgan dan Credit Suisse. Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah AirAsia X," katanya.

 

Sementara itu, syarikat penerbangan itu berkata, perancangan AirAsia untuk 2024 adalah ke arah pemulihan penuh terhadap operasinya. 

 

"Syarikat penerbangan ini akan mengaktifkan semula 191 jumlah pesawatnya menjelang akhir suku pertama tahun ini dengan 166 jumlah pesawat dalam operasi. 

 

"Sejajar dengan pemulihan yang kukuh, AirAsia juga akan melihat kapasitinya pulih kepada 83% daripada pra-pandemik menjelang akhir suku pertama tahun 2024 dan akan terus berkembang pada masa depan," katanya. - DagangNews.com