Karex dijangka terus menaikkan harga jualan untuk perbaiki margin keuntungan | DagangNews Skip to main content

Karex dijangka terus menaikkan harga jualan untuk perbaiki margin keuntungan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - CGS-CIMB Research menjangkakan tindakan Karex Berhad menaikkan harga jualan produk mereka tidak mencukupi untuk mengimbangi kenaikan kos bahan pembuatan utama seperti minyak silikon, kos penghantaran dan sebagainya.

 

Firma itu berkata, kenaikan kos bahan mentah sebelum ini menyebabkan Karex terpaksa menaikkan harga jualan mereka secara beransur-ansur terutama kepada pelanggan dalam bidang komersial.

 

"Karex dijangka meneruskan trend menaikkan harga jualan mereka dalam usaha untuk memperbaiki margin keuntungan bermula FY23F dan seterusnya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, syarikat pengeluar kondom itu masih berhadapan masalah kadar pengeluaran yang rendah dengan kadar penggunaan untuk 3QFY22F dianggarkan pada 55% hingga 60%, berbanding 65% hingga 70% sebelum pandemik COVID-19. 

 

Katanya, ia adalah disebabka isu seperti pekerja disahkan positif COVID-19, kelewatan penghantaran (penghantaran bahan mentah) dan kekurangan tenaga pekerja.

 

"Bagaimanapun. Karex berkeyakinan bahawa pengeluaran untuk 4QFY22F akan meningkat disokong dengan ketiadaan sekatan berkaitan COVID-19 seperti kurantin wajib untuk kontak rapat seperti sebelum ini," katanya.

 

Firma itu juga menjangkakan kilang pembuatan sarung tangan baharu Karex di Thailand akan terus mencatatkan kerugian selepas mengambil kira keadaan operasi yang lemah, penurunan purata harga jualan dan peningkatan kapasiti pengeluaran sarung tangan di pasaran global.

 

Pada masa sama, syarikat itu menerima banyak pertanyaan mengenai produk sarung tangan mereka terutama daripada pelanggan produk kondom sedia ada.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' untuk saham Karex pada harga sasaran (TP) RM0.40 berdasarkan keduduka pasarannya selaku pengeluar kondom terbesar, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan untuk produk kondom selain perkembangan segmen jenama sendiri," katanya. - DagangNews.com