KUALA LUMPUR 15 Julai - TikTok Shop Malaysia dengan kerjasama strategik TEKUN Nasional melancarkan Karnival TEKUN Madani digital bertujuan memperkasakan para usahawan tempatan dan meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan inisiatif #JomLokal TikTok Shop.
Menurut TikTok Shop Malaysia, lebih 40,000 usahawan dan peminat e-dagang serta 160,000 penonton dalam talian turut menyertai acara itu di Pulau Pinang.
Program itu membuka tirai pada Jun 2024 dengan sesi perkongsian daripada pencipta kandungan terkenal TikTok Shop Malaysia, Vicky Littlewolf yang memberi peluang pekerjaan kepada lebih 100 pencipta kandungan di Pulau Pinang.
Perkongsiannya berdasarkan pengalaman sebenar termasuk bagaimana perjalanan beliau dalam keusahawanan dan perniagaan komuniti pencipta kandungan tempatan.
Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz meraikan kejayaan kerjasama stategik itu yang telah berjaya melatih 150 peniaga dari Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.
“Malah, usahawan-usahawan TEKUN Nasional ini berjaya mencapai 1.19 juta trafik pelanggan dan menyaksikan peningkatan setinggi 243% dalam jualan siaran langsung mereka, berkat sokongan TEKUN Nasional dalam merealisasikan transformasi digital,” tambah beliau.
Semasa karnival tersebut berlangsung, 10 usahawan cemerlang menerima pakej siaran langsung bernilai lebih RM7,000 termasuk sokongan trafik pelanggan, baucar jualan, pencarian pencipta kandungan yang serasi dan persediaan stesen siaran langsung.
Selain itu, 14 lagi usahawan mempamerkan idea inovatif mereka dalam pertandingan pembentangan idea perniagaan.
Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani menzahirkan penghargaan beliau kepada TikTok Shop dalam mempromosikan acara itu sebagai rakan strategik, sekali gus mencapai lebih 3 juta penonton.
“Dalam usaha menjadi usahawan berjaya , kita mesti menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi maklumat dan komunikasi memacu masyarakat ke arah era digital."
"Justeru, penyesuaian diri dengan teknologi baharu akan membolehkan usahawan berinovasi dan meneroka peluang baharu,” tegas beliau.
Di samping itu, Karnival TEKUN Madani juga dimeriahkan lagi dengan Majlis Penganugerahan TikTok Shop yang dirasmikan Abdullah Sani bagi meraikan pencapaian cemerlang para usahawan termasuk @cikschagold.hq, pemenang ‘Hasil Jualan Siaran Langsung Terbaik’.
Usahawan berkenaan, @cikschagold.hq mencapai pertumbuhan jualan sebanyak 7,000 kali ganda dalam masa 20 hari.
Pemenang kategori ‘Pertumbuhan Pesanan Tertinggi’ ialah @lipstickscarf, yang mencapai pertumbuhan pesanan sebanyak 1.6 kali ganda dalam masa 20 hari.
@cendawanhub, pemenang kategori ‘Interaksi Video Berdurasi Pendek Terbaik’ berjaya meraih lebih 40,000 tontonan dan @shiffaenterprise yang memenangi pertandingan pembentangan idea perniagaan.
Oleh itu, kerjasama TikTok Shop Malaysia dengan TEKUN Nasional itu merupakan satu langkah penting ke arah memupuk inovasi digital dan pertumbuhan dalam landskap keusahawanan Malaysia, seiring dengan komitmen berterusan syarikat itu untuk memperkasakan usahawan-usahawan tempatan.- DagangNews.com