Kaunter sarung tangan antara heret turun KLCI, Petronas Gas bermula paling rugi | DagangNews Skip to main content

Kaunter sarung tangan antara heret turun KLCI, Petronas Gas bermula paling rugi

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Pasaran saham tempatan terus menyambung kemerosotan pada minggu lalu apabila dibuka lebih rendah dalam dagangan pagi ini. 

 

Indeks penanda aras utama di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 0.89 mata kepada 1,547.62 ketika dibuka pada 9 pagi, daripada penutupan pada petang Jumaat lalu, 1,548.51.

 

Menurut Rakuten Trade Research, FBM KLCI telah merosot sekitar 3% daripada paras tertingginya baru-baru ini, yang diburukkan lagi oleh berita mengenai penguatkuasaan cukai durian runtuh dan pengecualian faedah moratorium.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan sentimen akan terus terjejas sehingga keadaan ini diperjelaskan. Namun, kami percaya pemburuan saham murah akan muncul memandangkan ekonomi negara secara perlahan dibuka semula ketika kes COVID-19 telah menurun ke paras dua bulan terendah. 

 

“Buat hari ini, kami menjangkakan indeks itu akan didagangkan dalam jajaran 1,550 hingga 1,560,” jelas firma itu dalam satu nota kajian. 

 

Penyusutan indeks penanda aras utama itu antaranya diheret turun oleh kaunter penjagaan kesihatan yang menyaksikan saham Top Glove Corporation Berhad, Supermax Corporation Berhad dan Kossan Rubber Industries Berhad memulakan dagangan di kaunter paling rugi. 

 

Namun, kaunter itu didahului oleh saham Petronas Gas Berhad yang dibuka 20 sen lebih rendah kepada RM17.18 dengan 25 jumlah saham didagangkan. 

 

Ini diikuti oleh saham SAM Engineering & Equipment (M) Berhad yang merosot 14 sen ketika dibuka, kepada RM13.86 serta saham Petronas Dagangan Berhad yang menyusut 12 sen kepada RM18.90 setakat 9.01 pagi. 

 

Dalam kalangan kaunter untung pula, saham Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) kembali mengungguli dengan lonjakan 26 sen kepada RM20.50. 

 

Selain KLK, JCBNEXT Berhad melonjak 10 sen kepada RM1.47 ketika dibuka, dengan 17 saham didagangkan. 

 

Saham Sapura Energy Berhad pula mendahului kaunter paling rancak diniagakan, namun harga saham masih tidak berubah pada kadar 12 sen selepas 24 minit didagangkan. 

 

Turut rancak diniagakan adalah saham Focus Dynamics Group Berhad yang juga menyaksikan harga sahamnya tidak berubah pada kadar 5.5 sen dengan 183,078 jumlah saham didagangkan.

 

Secara keseluruhannya, dagangan pada pagi ini beraksi agak lemah apabila jumlah kaunter untung hanya mendahului 2 kaunter berbanding kaunter rugi, masing-masing pada perbandingan 162 dan 160. 


Sementara, 317 kaunter lagi tidak berubah dan 1636 tidak didagangkan. - DagangNews.com