Kaunter teknologi lonjak KLCI pagi ini | DagangNews Skip to main content

Kaunter teknologi lonjak KLCI pagi ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pasaran saham tempatan meneruskan prestasi meningkat pada pagi ini didorong oleh kaunter teknologi yang meraih lonjakan tinggi. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi, indeks penanda aras di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 2.88 mata daripada paras yang ditutup pada petang semalam, 1,620.92 kepada 1,623.80. 

 

Bagaimanapun, dagangan pada pagi ini menyaksikan sebanyak 329 kaunter rugi mengatasi 326 kaunter untung. 

 

Antara kaunter yang melonjak pada pagi ini adalah Heineken Malaysia Berhad, FGV Holdings Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, LPI Capital Berhad, Pharmaniaga Berhad, Dataprep Holdings Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad, UPA Corporation Berhad dan Teladan Setia Group Berhad.

 

Namun, Rakuten Trade Research percaya FBM KLCI akan ‘tersekat’ dalam jajaran perdagangan terhad ekoran minat membeli yang kurang. 

 

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks berkenaan akan berlegar sekitar paras 1,620/25 hari ini,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Di peringkat global, Rakuten Trade berkata, Wall Street melonjak memandangkan para pelabur optimis terhadap pembukaan semula ekonomi Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi dengan kedua-dua Dow Jones Industrial Average serta S&P 500 ditutup pada paras tertinggi. 

 

“DJI Average meningkat 175 mata untuk menghampiri paras 33,000, manakala S&P 500 ditutup pada paras 4,000. 

 

“Di pasaran serantau, kami menjangkakan prestasi hari ini cenderung bercampur-campur memandangkan para pelabur masih bimbang terhadap pembelian besar-besaran di AS,” tambah firma penyelidikan itu. - DagangNews.com