Kawan Food dijangka terima permintaan tinggi daripada segmen HORECA - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Kawan Food dijangka terima permintaan tinggi daripada segmen HORECA - CGS CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - CGS-CIMB Research menjangkakan Kawan Food Berhad akan mencatatkan pendapatan lebih baik untuk sembilan bulan akan datang terutama pada 2H22F dipacu oleh jualan yang lebih tinggi.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu seharusnya menerima manfaat daripada permintaan yang tinggi menerusi segmen HORECA (hotel-restoren-kafe) selepas kerjaan melonggarkan larangan pergerakan dan pada masa sama meraih pelaanggan baharu untuk pasaran eksport.

 

"Kami juga menjangkakan kumpulan itu menerima manfaat besar daripada peningkatan harga jualan (antara 7% ke 8% pada 1QFY22)

 

"Kami berpendapat, peningkatan harga jualan akan membantu Kawan Food mengatasi peningkatan kos bahan mentah (45% ke 50% daripada jumlah kos keseluruhan pada FY21) selain membantu mengawal kos mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan 1QFY22 kumpulan itu meningkat 1.9% dari suku ke suku didorong oleh jualan tempatan bagaimanapun hasil jualan eksport mereka menurun sebanyak 4.4% akibat peningkatan kos penghantaran yang menyebabkan ramai pelanggan menangguhkan pesanan.

 

Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 1QFY22 menurun sebanyak 4.2% kepada 21.3% menjadikan untung teras kumpulan berada pada paras 13.8% akibat kos bahan mentah yang tinggi, kurang keuntungan daripada sesetengah produk dan peningkatan kos pemasaran.

 

kawan

 

Firma itu berkata, kumpulan itu dijangka membina gudang baharu yang dilengkapi kemudahan penyimpanan sejuk beku di atas tanah seluas 7.1 ekar menerusi pengambilalihan  berharga RM50.5 juta di Shah Alam.

 

Bangunan itu juga akan menyediakan kemudahan penghasilan produk baharu terutama kategori makanan sedia untuk dimakan (termasuk produk berasaskan tumbuhan).

 

"Sekiranya pengambilalihan itu berjaya disempurnakan pada 4QFY22, kami menjangkakan pembinaan gudang baharu dan kemudahannya akan hanya dimulakan pada 1QFY23," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' untuk saham Kawan Food pada harga sasaran (TP)  RM2.50. ddagangnews.com