Kawan Food tidak akan naikkan lagi harga jualan produknya - Public Invest | DagangNews Skip to main content

Kawan Food tidak akan naikkan lagi harga jualan produknya - Public Invest

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Kawan Food Berhad dijangka tidak akan menaikkan lagi harga jualan produknya memandangkan sentimen pasaran yang semakin melemah.

 

Public Invest Research berkata, kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada mengoptimakan kos selain menghasilkan produk dengan lebih cekap dalam usaha melindungi margin keuntungannya.

 

"Kumpulan itu merancang untuk mengurangkan kenaikan bahan mentah melalui kecekapan pengeluaran yang lebih baik (output pengeluaran yang lebih tinggi) dan pelaksanaan Industri 4.0 untuk meningkatkan automasi dan mengurangkan pembaziran.

 

"Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan bertindak sebagai penampan terhadap kos bahan mentah yang meningkat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, tempahan bagi pasaran eksport adalah baik daripada pelanggan sedia ada terutamanya dari rantau AS dan ia didorong oleh peningkatan tempahan kesan daripada kelonggaran pergerakan kontena penghantaran.

 

"Kumpulan itu juga sedang berusaha mendapatkan baharu di Amerika Utara dan baru-baru ini mereka telah memulakan penghantaran eksport pertamanya kepada pelanggan sasarannya walaupun pada jumlah yang kecil.

 

"Kami berpendapat, tekanan inflasi yang tinggi menjadi kelebihan kepad akumpulan itu kerana pengguna memilih produknya yang memiliki tanda harga yang lebih rendah," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga merancang untuk menghasilkan produk baharu bernilai tinggi (produk bebas daging, produk berasaskan tumbuhan dan batang keju) bagi meningkatkan jualan pada masa hadapan berbanding sebelum ini akibat kekangan tenaga kerja.

 

Firma itu juga difahamkan, sedang menerima pekerja baharunya dan telah membawa masuk 37 pekerja baharu pada Ogos 2022.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.50," katanya. - DagangNews.com