Kawan Renergy raih kontrak RM58 juta daripada KAB Energy Holdings | DagangNews Skip to main content

Kawan Renergy raih kontrak RM58 juta daripada KAB Energy Holdings

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pembekal penyelesaian tenaga, Kawan Renergy Bhd (Kawan Renergy) melalui anak syarikat milik penuhnya, Kawan Engineering Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM58 juta daripada KAB Energy Holdings Sdn. Bhd. (KABEH) yang merupakan segmen rumusan tenaga lestari (SES) milik Kinergy Advancement Bhd. 

 

Projek itu merangkumi skop kejuruteraan,perolehan,pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dalam penjanaan loji 52 megawatt termasuk kemudahan berkaitannya di Sipitang, Sabah. 

 

Syarikat itu juga menjangkakan projek tersebut akan siap menjelang suku pertama 2026. 

 

Pengarah Urusan Kawan Renergy, Lim Thou Lai berkata, kontrak itu merupakan bukti keupayaan syarikat dalam penyelesaian kejuruteraan berkualiti tinggi. 

 

“Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan bagi tahun fiskal kami berakhir 31 Oktober 2024 (FY24) dan seterusnya," ujarnya. 

 

Beliau turut berkata, portfolio projek syarikat kini termasuk peralatan proses industri, pemprosesan loji serta kemudahan tenaga boleh diperbaharui dan penjanaan bersama.

 

 

gggg
Pengarah Urusan Kawan Renergy, Lim Thou Lai

 

Di samping itu, Kawan Renergy kekal optimistik tentang prospeknya memandangkan permintaan yang berterusan untuk perkhidmatannya.

 

“Suntikan modal baharu daripada tawaran awam permulaan (IPO) pada Mei 2024 adalah penting dalam mempercepatkan strategi pertumbuhannya, terutamanya dalam sektor peralatan proses industri yang berkembang maju.

 

“Dengan permintaan yang meningkat untuk tenaga boleh diperbaharui dan loji penjanaan bersama, sejajar dengan sasaran pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050,” ulasnya dalam kenyataan media semalam.- DagangNews.com