Kawan Renergy raih pendapatan RM22.2 juta bagi 2QFY24, segmen RE antara penyumbang | DagangNews Skip to main content

Kawan Renergy raih pendapatan RM22.2 juta bagi 2QFY24, segmen RE antara penyumbang

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kawan Renergy Berhad (Kawan Renergy) mencatatkan pendapatan sebanyak RM22.2 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), meningkat 11.2% daripada RM19.9 juta dalam suku tahun kewangan sebelumnya. 

 

Menurut Kumpulan itu, peningkatan ini didorong kenaikan pendapatan yang ketara daripada tenaga boleh diperbaharui (RE) dan loji penjanaan gabungan, yang meningkat dua kali ganda kepada RM8.1 juta daripada RM2.9 juta dalam 1QFY24. 

 

Namun begitu, pendapatan dari segmen loji proses menurun kepada RM2.6 juta daripada RM5.7 juta, manakala pendapatan daripada peralatan proses industri sedikit meningkat kepada RM11.4 juta daripada RM11.3 juta.

 

Secara keseluruhannya, untung sebelum cukai (PBT) dan untung bersih (PAT) untuk suku ini meningkat sebanyak 26.5% dan 4.5%, masing-masing mencatat RM6.5 juta dan RM4.4 juta.

 

Peningkatan dalam PBT diperolehi melalui peningkatan margin keuntungan kasar keseluruhan kepada 33.8%, naik daripada 30.9% dalam 1QFY24.

 

Kumpulan juga melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM11.7 juta dan (PAT) sebanyak RM8.6 juta pada separuh pertama tahun ini. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: IPO Kawan Renergy terlebih langganan 94.99 kali

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kawan Renergy raih untung bersih RM4.2 juta pada 1QFY24, pendapatan hampir RM20 juta

 

Ini terutamanya, PAT enam bulan telah melebihi 50% daripada PAT tahun penuh sebelumnya sebanyak RM13.3 juta, yang direkodkan pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023 (“FY23”).

 

Pengarah Urusan Kawan Renergy, Ir. Lim Thou Lai berkata, pihaknya meramalkan permintaan yang meningkat untuk RE dan loji penjanaan gabungan dengan syarikat-syarikat yang memberi tumpuan kepada kecekapan tenaga dan pengurangan karbon.

 

Katanya, sehingga 30 April 2024, Kumpulan mempunyai pesanan yang baik berjumlah RM124.3 juta, termasuk projek loji penjanaan bersama bernilai RM58.0 juta yang dianugerahkan pada April 2024.

 

"Kami sedang bersedia untuk melangkah ke dalam perniagaan pengeluar tenaga bebas (IPP), dengan memberi tumpuan kepada loji penghasilan biogas dan biomas untuk sumber pendapatan  pendapatan berulang. 

 

"Langkah strategik ini memanfaatkan keupayaan teknikal kami untuk mengembangkan dan menguruskan projek-projek tenaga," katanya dalam kenyataan hari ini. - DagangNews.com