KUALA LUMPUR 27 Jun - Untung bersih JKG Land Bhd pada suku pertama berakhir 30 April 2024 (1QFY25) melonjak hampir empat kali ganda kepada RM8.4 juta berbanding RM2.2 juta pada tahun sebelumnya didorong tahap kemajuan kerja yang dicapai dalam segmen pembangunan hartanah.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil pada suku berkenaan juga meningkat kepada RM56.2 juta berbanding RM20.6 juta pada 1QFY24.
Katanya, bagi suku berkenaan, segmen permbangunan hartanah mencatatkan hasil sebanyak RM54.75 juta dan keuntungan operasi sebanyak RM12.99 juta, mewakili peningkatan sebanyak 184.3% dan 223.2% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.
"Hasil dan keuntungan yang lebih tinggi pada suku semasa dan tempoh kewangan terutamanya disebabkan oleh tahap kemajuan kerja yang lebih tinggi yang dicapai untuk Fasa 2 ERA," katanya.
Kumpulan itu berkata, bagi segmen penanam kelapa sawit, kedua-dua hasil dan keuntungan menurun sebanyak 6.5% dan 12.4% disebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah dan penurunan hasil tuaian buah tandan segar (BTS).
Katanya, hasil dan keuntungan operasi daripada segmen lain seperti pendapatan sewa dan penyediaan perkhidmatan pengurusan meningkat 21.9% kepada RM773,000 dan keuntungan operasi meningkat 24.8% kepada RM176,000 berbanding hasil RM634,000 dan keuntungan operasi RM141,000.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, walaupun ketegangan geopolitik global berterusan, aspirasi pemilikan hartanah dan populasi pekerja semakin meningkat dijangka mengekalkan permintaan untuk hartanah aktif, menunjukkan bahawa pasaran berada pada kedudukan yang stabil.
Katanya, dinamik pasaran dijangka terus dipengaruhi oleh lokasi pembangunan dan kemajuan projek infrastruktur yang akan datang.
"Permintaan untuk projek kumpulan di Kulim kekal menggalakkan manakala ERA Fasa 2 di Kuala Lumpur yang telah mencapai jualan sebanyak 74% sedang berjalan dengan baik.
"Kumpulan akan terus memanfaatkan pelbagai inisiatif jualan dan kempen pemasarannya untuk mendapatkan lebih banyak jualan dan memacu projek pembangunannya," katanya. - DagangNews.com