KD Lekir, KD Gempita sertai Eksesais Shield 2023 bersama kapal perang Britain, Singapura, Australia, New Zealand | DagangNews Skip to main content

KD Lekir, KD Gempita sertai Eksesais Shield 2023 bersama kapal perang Britain, Singapura, Australia, New Zealand

Eksesais Bersama Shield 2023 ini melibatkan lima buah negara yang menyertai gabungan Pengaturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA).
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 27 April - Dua aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyertai angkatan laut negara-negara sahabat bagi terlibat dalam Eksesais Bersama Shield 2023.

 

Kapal terbabit ialah korvet KD Lekir dan kapal peronda KD Gempita apabila masing-masing belayar dari tambatan Pangkalan Lumut, Perak dan Pangkalan Kuantan, Pahang. 

 

Eksesais Bersama Shield 2023 ini melibatkan lima buah negara yang menyertai gabungan Pengaturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA).

 

Selain Malaysia, FPDA dianggotai United Kingdom, Singapura, Australia dan New Zealand.

 

 

tldm
KD Lekir belayar dari Tambatan Pangkalan Lumut bagi menyertai Eksesais Bersama Shield 2023 bersama tentera laut FPDA.

 

 

Perjanjian pertahanan ini merupakan pakatan ketenteraan tertua selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang mana FPDA ditubuhkan sewaktu kemuncak Perang Dingin.

 

Selain melibatkan kerjasama pertahanan, FPDA juga menjadi instrumen antara negara anggota dalam perkongsian kemahiran seperti bantuan semasa bencana dan operasi selain peperangan (OOTW).

 

Eksesais Bersama Shield 2023 yang berlangsung mulai 27 April hingga 12 Mei turut melibatkan latihan udara dan pertahanan udara. 

 

Kebanyakannya berlangsung di perairan antarabangsa termasuk sebahagian daripada zon ekonomi eksklusif Malaysia di Laut China Selatan.

 

 

tldm
Kapal peronda KD Gempita

 

 

Sementara, pihak berkuasa penerbangan awam Singapura turut mengeluarkan notis penutupan wilayah penerbangan Kuala Lumpur dan republik itu semasa tempoh latihan udara ini berlangsung.

 

Latihan ini telah dianjurkan setiap tahun sejak  2004 secara penggiliran antara Malaysia dan Singapura.

 

Tahun lepas, Malaysia menjadi tuan rumah dalam eksesais ini yang melibatkan penyertaan kira-kira 2,600 anggota.

 

Selain 10 buah kapal perang, latihan membabitkan sebuah kapal selam, enam helikopter maritim, tiga pesawat peronda maritim, 25 pesawat pejuang, dua pesawat sokongan dan satu pesawat arahan dan kawalan.

 

 

tldm
Anggota bot tentera laut Australia melepasi kapal korvet KD Lekir semasa terlibat dalam Eksesais Bersama Shield 2018.

 

 

Bagi korvet KD Lekir, penyertaan dalam Eksesais Bersama Shield 2023 ini bakal mencipta kejayaan tersendiri.

 

Pada September tahun lalu, KD Lekir mengharumkan nama negara selepas menamatkan Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 yang diadakan di Hawaii, Amerika Syarikat.

 

Penyertaan KD Lekir ini merupakan penglibatan kali kedua TLDM setelah kejayaan pelayaran kali pertama dilakukan pada tahun 2018 menerusi frigat KD Lekiu.

 

Eksesais multilateral terbesar di dunia itu disertai 29 buah negara melibatkan 41 buah kapal perang dengan penyertaan kira-kira 25,000 anggota.

 

Apa yang membanggakan apabila KD Lekir berjaya mempamerkan kesiapsiagaan menerusi penembakan peluru berpandu antikapal, Exocet MM40.

 

 

tldm
KD Lekir melepaskan peluru Exocet MM40

 

 

Ini juga merupakan penembakan pertama dilaksanakan kapal tersebut di luar perairan negara.

 

Korvet berusia 40 tahun ini membuktikan ia masih gagah apabila berada di perantauan melebihi tiga bulan mengharungi lautan pasifik.

 

Perkara yang paling berharga bagi pegawai dan anak-anak kapal tersebut ialah kejayaan penembakan misil dan juga penglibatan dalam hampir kesemua latihan yang telah dirancangkan semasa di Hawaii.

 

 

tldm
Sebahagian daripada para pegawai kanan tentera laut FPDA merancang strategi dalam satu latihan yang diadakan.

 

 

Walaupun kekurangan daripada segi aset, namun keupayaan kapal TLDM tetap setanding dengan angkatan laut lain yang menyertai RIMPAC 2022.

 

Sepertimana dalam RIMPAC 2022, kita yakin TLDM menerusi KD Lekir dan kali ini bersama KD Gempita akan mempamerkan keupayaan terbaik bersama-sama angkatan laut negara sahabat. - DagangNews.com