KD Lekir sertai tentera laut 50 negara dalam eksesais maritim terbesar, Milan di India | DagangNews Skip to main content

KD Lekir sertai tentera laut 50 negara dalam eksesais maritim terbesar, Milan di India

Dua kapal pengangkut pesawat India yang menyertai Eksesais Milan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 21 Feb - Pendekatan diplomasi pertahanan pada peringkat global terus dipamerkan oleh Malaysia apabila menyertai 50 negara lain dalam latihan tentera laut terbesar Tentera Laut India, Milan 2024.

 

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar kapal korvet KD Lekir bagi mengikuti latihan yang berlangsung selama lapan hari ini di perairan Visakhapatnam.

 

Fasa pelabuhan merangkumi perarakan kontinjen negara-negara peserta di bandar pelabuhan tersebut diikuti sesi seminar maritim, ekspo teknologi, pertukaran kemahiran dan aktiviti sosial.

 

Semasa fasa laut pula melibatkan latihan pertahanan udara lanjutan, antikapal selam dan perang antipermukaan. 

 

Kapal
KD Lekir.

 

Latihan itu merangkumi tembakan meriam pada sasaran udara dan permukaan, gerakan dan pengisian semula yang sedang dijalankan.

 

Eksesais Milan melangkaui objektif utamanya untuk meningkatkan keselamatan maritim dan keselamatan perdagangan maritim. 

 

Ia juga berfungsi sebagai bukti kehebatan diplomatik dengan India sebagai negara penganjur dalam mengemudi hubungan antarabangsa yang kompleks.

 

Latihan edisi ke-12 ini adalah kelangsungan daripada siri pertama yang diadakan pada tahun 1995 bagi memperkemaskan kerjasama tentera laut antara negara di perairan Andaman dan kepulauan Nicobar.

 

Ia bertitik tolak daripada pengenalan polisi Pandang Ke Timur oleh India bagi memainkan peranan lebih besar dalam keselamatan serantau.

 

Kapal
Kapal penjelajah Varyaq.

 

Kapal
Korvet VPN20 milik Vietnam.

 

Ini merupakan penglibatan terbaharu KD Lekir di luar negara selepas menyertai eksesais multilateral maritim terbesar dunia Rim of The Pacific (RIMPAC) di Kepulauan Hawaii dua tahun lalu.

 

Walaupun berusia 40 tahun, namun kapal ini masih gagah mengharungi lautan terbuka sepanjang penugasan eksesais.

 

Kemampuan KD Lekir mengharungi cabaran pelayaran serta melaksanakan latihan semasa eksesais membuktikan kemampuan warga TLDM menyelenggara aset ini dengan baik.

 

Eksesais Milan juga menyaksikan buat pertama kali Tentera Laut India menampilkan dua kapal pengangkut pesawat tentera laut, INS Vikrant dan INS Vikramaditya.

 

Kapal

 

Kapal
Sebahagian daripada kapal-kapal yang menyertai Eksesais Milan 2024.

 

Aset-aset lain milik India ialah kira-kira 20 kapal perang dan 50 pesawat termasuk MiG29K, LCA Tejas dan P8I akan mengambil bahagian dalam latihan itu. 

 

Turut mengambil bahagian ialah kapal-kapal tentera laut dari Amerika Syarikat (AS) Iran dan Rusia.

 

Penghantaran kapal USS Halsey, IRIS Dena dari Iran manakala kapal penjelajah kelas Slava, Varyag dari Rusia menyaksikan masing-masing membentuk kerjasama semasa latihan.

 

Negara-negara lain yang menghantar kapal perang ialah Australia, Jepun, Perancis, Indonesia, Bangladesh, Korea Selatan dan Vietnam. - DagangNews.com