KDN buka tender bekalkan simulator penerbangan helikopter AW139 PDRM | DagangNews Skip to main content

KDN buka tender bekalkan simulator penerbangan helikopter AW139 PDRM

Contoh simulator penerbangan helikopter AW139.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 April - Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menerima simulator penerbangan bagi helikopter AW139 untuk meningkatkan kecekapan juruterbang.

 

Tawaran tender pembelian tersebut telah dikeluarkan oleh Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

Simulator penerbangan helikopter AW139 ini akan ditempatkan di Pangkalan Latihan PGU PDRM di Ipoh, Perak.

 

Kemudahan ini bukan sahaja bagi meningkatkan kecekapan latihan kepada juruterbang dan bakal juruterbang tetapi juga bagi pensijilan.

 

 

 

 

pgu

 

Helikopter
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Dr. Abdul Gapar Abu Bakar (tengah) semasa mengadakan lawatan ke Pangkalan Latihan PGU Ipoh.
 

 

Walaupun tidak dinyatakan harga tetapi dianggarkan kemudahan simulator penerbangan ini bagi helikopter kegunaan awam adalah kira-kira AS$11.2 juta atau RM54 juta.

 

PGU PDRM menerima enam buah helikopter mengoperasikan AW139 pada tahun 2015, bagaimana pun sebuah daripadanya terlibat nahas di Tawau, Sabah pada 2020.

 

Selain PDRM, helikopter jenis ini turut digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

 

Ketika ini KDN sedang menaik taraf pembangunan di Pangkalan Latihan PGU Ipoh sebagai pusat latihan penerbangan PDRM yang dibangunkan melalui Program Kolaborasi Industri (ICP).

 

Helikopter
Helikopter AW139 PDRM.

 

Program ini diselia oleh Technology Depository Agency (TDA) dengan kerjasama Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd. dan Galaxy Helicopter (M) Sdn. Bhd.

 

Pada September 2020, Pangkalan Latihan PGU Ipoh diiktiraf sebagai pusat latihan penerbangan yang pertama Malaysia oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di bawah KDN.

 

Dengan pengiktirafan tersebut PDRM tidak perlu lagi menghantar anggota atau juruterbang bagi mengikuti latihan ke luar negara atau di institusi swasta.

 

Ini kerana tenaga jurulatih penerbangan di pangkalan latihan itu mempunyai kemampuan untuk melatih serta diiktiraf.

 

 

iktisad

 

iktisad

 

 

Pada Oktober tahun lalu, kerajaan mengumumkan perolehan tujuh buah pesawat kapal terbang 'twin engine' dan lima helikopter ringan milik PDRM menerusi Bajet 2024.

 

Bagaimana pun, sehingga kini belum ada maklumat lanjut termasuk jenis pesawat yang hendak dibeli termasuk spesifikasi. - DagangNews.com