KDNK dijangka lebih mengukuh pada 3Q20 | DagangNews Skip to main content

KDNK dijangka lebih mengukuh pada 3Q20

Malaysia

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh menjelang suku ketiga 2020.

AmBank Research berkata, pertumbuhan KDNK pada suku ketiga cenderung menunjukkan penguncupan yang lebih kecil antara -3.5% hingga -4.5%.

"Ramalan awal berdasarkan data yang dikumpulkan menunjukkan pertumbuhan KDNK 3Q2020 cenderung menunjukkan penguncupan yang lebih kecil antara -3.5% hingga -4.5% berbanding -17.1% pada 2Q2020.

"Dengan mengambil kira gelombang kedua wabak COVID-19 serta langkah rangsangan yang diperkenalkan, KDNK tahunan dijangka akan meningkat antara -3.6% hingga -5.5%," jelas 
AmBank Research.

Pengeluaran Perindustrian (IP) Ogos mencatatkan perkembangan pada kadar perlahan iaitu sebanyak 0.3% berbanding 1.3% pada Julai.

Prestasi IP itu didorong oleh sektor pembuatan yang meningkat 2.4% sekali gus mengimbangi pengeluaran yang lemah daripada sektor perlombongan (-6.7%) dan elektrik (-1.2%).

Perkembangan positif juga dapat dilihat dalam sektor pengedaran perdagangan yang turun pada kadar lebih perlahan iaitu sebanyak 2.3% pada Ogos berbanding -3.5% pada Julai.

Perkembangan tersebut menunjukkan peningkatan permintaan dan keyakinan yang terus pulih secara beransur-ansur.

Sektor pembuatan juga terus disokong oleh eksport dan aktiviti dalam negeri. 

Produk elektrik dan elektronik (6.9%) dilihat memanfaatkan kenaikan penjualan semikonduktor global. 

Pada masa yang sama, pembuatan disokong oleh aktiviti domestik seperti peralatan pengangkutan dan pengeluar lain (6.9%), makanan, minuman dan tembakau (4.7%), logam asas (+ 3.2%), dan produk getah & plastik (+32.5% ).

Sementara itu, data perlombongan yang kurang baik disebabkan oleh penurunan pengeluaran minyak yang berterusan sejak Disember 2018 (-5% pada bulan Ogos). 

Situasi sama turut terjadi dalam pengeluaran gas nasional yang jatuh ke -8% pada bulan Ogos untuk bulan kelima berturut-turut. - DagangNews.com