KDNK Q2 Malaysia berkembang 16.1%: Ekonomi terus di landasan pemulihan - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

KDNK Q2 Malaysia berkembang 16.1%: Ekonomi terus di landasan pemulihan - Tengku Zafrul

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Keluaran Dalam Negara Malaysia (KDNK) yang berkembang 16.1% pada suku kedua tahun ini (2Q21) mencerminkan trend pemulihan ekonomi negara yang berterusan. 

 

Walaupun terdapat beberapa halangan berikutan peningkatan semula kes COVID-19 menjelang akhir 2Q21, namun Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menekankan bahawa indikator ekonomi utama telah menunjukkan tanda pemulihan yang menggalakkan. 

 

“Ekonomi Malaysia dijangka pulih secara beransur-ansur berikutan kelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan kejayaan mencapai nilai ambang yang ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi setiap negeri. 

 

Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz
Tengku Zafrul Abdul Aziz

 

“Keadaan ini seterusnya akan membolehkan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih luas. Setakat ini, enam negeri telah beralih ke Fasa 2 dan dua negeri termasuk Labuan telah berjaya beralih ke Fasa 3.

 

“ Tambahan pula, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar vaksinasi terpantas di dunia dalam melaksanakan program vaksinasi, dengan suntikan lebih dari 500,000 dos sehari. Pada kadar ini, 80% populasi dewasa di Lembah Klang, dan 50% populasi dewasa Malaysia dijangka lengkap divaksin menjelang akhir Ogos,” katanya dalam satu kenyataan. 

 

Sebelum itu Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) mengumumkan bahawa peningkatan KDNK Malaysia itu adalah berikutan penguncupan yang lebih kecil bagi suku tahun sebelumnya pada kadar 0.5% dan berbanding kemerosotan 3.4% pada 4Q20.

 

Baca : Ekonomi Malaysia Q2 berkembang 16.1%

 

Dari segi enam bulan pertama tahun ini, KDNK meningkat sebanyak 7.1%, berbanding penurunan 8.4% dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.

 

Sementara, pertumbuhan KDNK pada Jun mencatatkan penguncupan 4.4% disebabkan oleh kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada pertengahan Mei, dan juga Fasa 1 PPN mulai awal Jun. 

 

Dalam pada itu, peningkatan permintaan luar daripada rakan dagangan utama, pemulihan harga komoditi, serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi akan menjadi faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi Malaysia. 

 

Jelas Tengku Zafrul, faktor-faktor ini akan mendukung asas ekonomi negara yang kekal berdaya tahan walaupun ketika tempoh mencabar ini, disokong oleh kecanggihan, kedalaman dan kepelbagaian ekonomi negara di mana sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang lebih daripada 80% kepada ekonomi. 

 

“Sektor pembuatan dan eksport dijangka menerima manfaat daripada permintaan global bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), hidrokarbon seperti minyak mentah dan gas asli serta peralatan pelindungan diri. Secara keseluruhan, KDNK 2021 dijangka meningkat antara 3.0% hingga 4.0% seperti yang diumumkan oleh BNM pada hari ini,” katanya lagi. - DagangNews.com