Keadaan kediaman tidak terjual bertambah baik, MIDF Research kekal positif terhadap prospek hartanah | DagangNews Skip to main content

Keadaan kediaman tidak terjual bertambah baik, MIDF Research kekal positif terhadap prospek hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Dis - MIDF Research kekal positif terhadap prospek sektor hartanah keadaan kediaman tidak terjual bertambah baik dan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah.

 

Katanya, berdasarkan maklumat Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), pangsapuri servis tidak terjual bertambah baik pada suku ketiga tahun ini dengan jumlah pangsapuri servis tidak terjual yang lebih rendah sebanyak 22,152 unit berbanding 22,497 unit pada suku kedua.

 

Keadaan itu bertambah baik terutamanya di Johor dengan unit tidak terjual sebanyak 12,646 unit pada suku ketiga berbanding 13,366 unit pada suku sebelumnya.

 

"Johor merupakan negeri yang mempunyai pangsapuri tidak terjual perkhidmatan tertinggi yang menyumbang kepada 57% kepada jumlah tidak terjual," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada kadar 3% bermula Julai 2023 sehingga kini dan kadar yang tidak berubah itu menyokong pemulihan sektor hartanah keranan minat belian kekal disokong.

 

Katanya, sementara itu, MIDF Research berpendapat bahawa OPR sebanyak 3% akan kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan sektor hartanah.

 

"Memandang ke hadapan, pakar ekonomi kami menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada 3% pada 2024," katanya.

 

Pilihan utama MIDF Research untuk sektor ini ialah Mah Sing (beli, TP: 99 sen) dan Matrix Concept (BELI, TP: RM1.86) kerana berpendapat bahawa pemaju hartanah yang menumpukan pada rumah mampu milik seharusnya melihat permintaan lebih baik kerana rumah mampu milik kekal berdaya tahan.

 

"Kami juga menyukai Sunway Berhad (beli, TP: RM2.25) kerana prospek yang lebih baik untuk Iskandar Malaysia manakala penyenaraian Sunway Healthcare menjelang 2027 sepatutnya menyediakan pemangkin kepada kumpulan itu," katanya. - DagangNews.com