Keahlian Noor Effandi dalam BERSATU gugur serta-merta | DagangNews Skip to main content

Keahlian Noor Effandi dalam BERSATU gugur serta-merta

 

KUALA LUMPUR 6 Okt - Keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad di dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) gugur serta-merta berikutan pembabitan beliau dengan tiga lagi ADUN dari parti lain, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka.

 

Setiausaha Agung Dato Seri Hamzah Zainudin berkata, Biro Politik BERSATU yang bermesyuarat malam ini telah membuat ketetapan bahawa Noor Effandi Ahmad gugur keahliannya secara serta-merta di bawah Fasal 10 Perlembagaan BERSATU.

 

''Ketetapan ini akan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU akan datang,'' katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

 

Hamzah berkata, Biro Politik BERSATU melahirkan rasa amat kecewa dengan tindakan 4 Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka yang menarik sokongan terhadap Ketua
Menteri Melaka sehingga membawa kepada pembubaran DUN Melaka ketika rakyat sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

 

Menurutnya, Biro Politik BERSATU berpendapat bahawa kemelut politik ini berpunca daripada masalah dalaman parti politik tertentu dan ia bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat serta kepentingan negara pada ketika ini yang masih di peringkat awal proses pemulihan.

 

''Biro Politik BERSATU berpendirian bahawa kemelut politik di negeri Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan
Persekutuan dengan mengambilkira kepentingan rakyat,'' kata beliau. - DagangNews.com