KUALA LUMPUR 6 Sept - Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) percaya bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah rejim cukai yang lebih telus dan berkesan, berbanding dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata kerajaan bagaimanapun perlu membuat penambahbaikan untuk menjadikan cukai itu lebih mesra pengguna dan perniagaan, termasuk mengurangkan kadar GST kepada sekurang-kurangnya empat peratus.
“Berdasarkan Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM-MIER kami untuk separuh pertama 2022 (1H2022), hampir tiga perempat (74 peratus) responden memihak kepada GST.
“Antara mereka, 49.1 peratus berpendapat mereka memerlukan tempoh enam bulan untuk peralihan kembali kepada GST.
"Sebanyak 34.8 peratus lagi percaya mereka memerlukan 12 bulan dan 9.9 peratus memerlukan 18 bulan," katanya semasa taklimat media sempena Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM-MIER 1H2022 yang dikeluarkan hari ini.
Soh berkata tinjauan itu adalah kerjasama dwi-tahunan antara FMM dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). Ia melibatkan pengundian 794 responden di seluruh negara dari 9 Julai hingga 12 Ogos 2022.
Soh berkata 26 peratus lagi responden bagaimanapun tidak menyokong GST.
"Alasannya, antara lain, termasuk memberi kesan kos kepada pengguna, dan kertas kerja yang membebankan, dokumentasi dan proses tuntutan yang dikenakan cukai," katanya.
Pada Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan berminat untuk memperkenalkan semula GST, yang dilaksanakan pada 2015 tetapi dibatalkan tiga tahun kemudian.
Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat kabinet dan kajian lanjut akan dijalankan. - DagangNews.com