Kebenaran rentas daerah berita baik industri pelancongan | DagangNews Skip to main content

Kebenaran rentas daerah berita baik industri pelancongan

Pelancongan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Mac. -  Kebenaran rentas daerah dalam negeri kecuali Sabah yang diumumkan kerajaan semalam disambut baik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

 

Menterianya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia merupakan berita yang amat memotivasikan penggiat industri pelancongan, seni dan budaya yang selama ini telah mengemukakan kebimbangan jika sekatan pergerakan rentas daerah dan negeri masih diteruskan.

 

"MOTAC sebelum ini telah mengadakan empat sesi libat urus menerusi Jawatankuasa Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan penggiat industri.

 

"Rata-ratanya mahukan kerajaan membenarkan semula pergerakan atau perjalanan antara daerah atau negeri. 

 

"Dengan adanya pengumuman terbaharu ini, ia merupakan salah satu inisiatif MOTAC dalam menyampaikan pandangan penggiat industri kepada kerajaan Persekutuan, yang mana usaha ini akhirnya didengari," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mengulas lanjut, Nancy berkata, keputusan tersebut juga membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk melancong, menjalankan operasi perniagaan sepenuhnya di samping menjamin kelangsungan hidup pekerja yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan.

 

Nancy Shukri
Nancy Shukri 

 

Semalam, MOTAC turut mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri melibatkan Malaysian Association of Amusement Theme Park & Family Attractions (MAATFA), Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Malaysia Retailers Association (MRA) dan Batu Road Retailers Association (BARRA).

 

Dalam pertemuan tersebut, BARRA mencadangkan agar membenarnkan pengoperasian Bazar Ramadan, manakala PPK memohon pembukaan pawagam dalam premis kompleks beli belah.

 

Selain itu, penggiat industri berkenaan turut menyuarakan pandangan agar keutamaan vaksin diberikan kepada penggiat industri dalam sektor pelancongan.

 

Bagi tujuan tersebut, kerajaan disaran agar mengeluarkan dokumen atau passport khas kepada warga Malaysia yang telah menerima vaksin untuk memudahkan pergerakan dalam negeri termasuk aktiviti pelancongan dengan selamat.

 

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Lim Choong Sean turut meminta satu pelan jangka panjang pembukaan sempadan antarabangsa dirangka.

 

Jelasnya, usaha itu membantu kementerian untuk mengenalpasti kumpulan sasaran dari pasaran antarabangsa yang boleh dibenarkan untuk tujuan percutian di negara ini. - DagangNews.com