Kebimbangan ICPT masih pengaruhi prospek TNB ekoran kenaikan harga arang batu | DagangNews Skip to main content

Kebimbangan ICPT masih pengaruhi prospek TNB ekoran kenaikan harga arang batu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Sept - Maybank Investment Bank (IB) mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan harga sasaran tidak berubah pada RM8.70 sesaham.

 

Menurut firma itu, harga arang batu masih kekal tinggi dan ia bermakna kebimbangan terhadap mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) masih menjadi tumpuan.

 

Katanya, kos penjanaan yang kurang pulih mencecah paras tertinggi baru pada suku kedua dan harga arang batu telah meningkat lebih jauh sejak itu.

 

"Berdasarkan anggaran kami, surcaj 3sen bagi setiap kilowatt per jam (kWj) diperlukan untuk menampung setiap kenaikan RM100/t harga arang batu di atas rujukan tarif (dengan mengandaikan surcaj ditanggung oleh semua pengguna)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

TNB mencatatkan prestasi berdaya tahan pada separuh pertama 2022 disokong permintaan elektrik lebih tinggi sebanyak 5% tahun ke tahun sejajar pertumbuhan berterusan ekonomi pasca pandemik.

 

Hasil kumpulan tanpa bayaran balik ICPT bagi tempoh tersebut meningkat 4.4% kepada RM24.99 bilion daripada RM23.93 bilion. 

 

Namun, syarikat utiliti itu masih menghadapi cabaran dan kekal terdedah kepada kenaikan harga bahan api mengakibatkan baki penghutang yang tinggi. 

 

Secara dasarnya, menurut Maybank IB, keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terhadap TNB sebahagian besarnya telah diambil kira sejak tahun lalu, memandangkan pasaran memberi tumpuan kepada mekanisme ICPT.

 

Setelah mengumumkan sasaran bersih sifar menjelang 2050 pada tahun lalu, TNB telah mengumumkan butiran rancangan peralihannya yang secara amnya dikategorikan kepada empat tunjang iaitu GenCo, Bahagian Tenaga Baharu (NED), Grid dan Kenderaan Elektrik (EV).

 

TNB juga menjangkakan perbelanjaan modal (capex) tahunan akan meningkat daripada RM9 hingga RM14 bilion pada 2020 kepada RM10 hingga RM20 bilion pada 2030 berikutan pelaburan dalam teknologi tenaga hijau.

 

Malah, katanya, capex itu dijangka terus meningkat antara RM15 hingga RM24 bilion pada 2040 apabila teknologi baharu ini menjadi arus perdana.

 

"Sehubungan itu, TNB terbuka kepada pelbagai pilihan pembiayaan, termasuk pelupusan sebahagian GenCo pada masa hadapan melalui penyenaraian, dan membenarkan penyertaan ekuiti oleh rakan kongsi teknologi dalam loji terpilih," jelasnya.

 

Setakat 12.16 tengah hari, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.11% kepada RM8.77 dengan 826,900 saham diniagakan. - DagangNews.com