KUALA LUMPUR 23 Dis – Malaysia sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam pengeluaran kayu lestari menerusi pemilihan semula sebagai Pengerusi Coalition on Sustainable Timber untuk penggal kedua.
Keputusan tersebut, yang diumumkan semasa mesyuarat keenam Coalition pada 17 Disember lalu, menonjolkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha proaktif Malaysia dalam menyokong perhutanan lestari dan amalan perdagangan yang adil.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, gabungan itu yang terdiri daripada persatuan industri perhutanan dan kayu dari sembilan negara pengeluar kayu utama, ditubuhkan pada Disember 2023 sebagai reaksi bersama terhadap Peraturan EU mengenai Produk Bebas Penebangan Hutan (EUDR).
"Misinya adalah untuk memastikan suara negara pengeluar kayu didengari dan untuk memperjuangkan pelaksanaan EUDR yang adil," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Foong Hin memuji Malaysian Timber Association (MTA) dan Malaysian Timber Council (MTC) kerana memimpin usaha itu, dengan menekankan bahawa pemilihan semula Malaysia sebagai pengerusi mencerminkan komitmen negara terhadap amalan lestari dan keupayaannya untuk memimpin dalam menangani cabaran global.
"Kepimpinan Malaysia dalam Coalition on Sustainable Timber mencerminkan dedikasi kita untuk mempromosikan perhutanan lestari sambil melindungi kepentingan negara pengeluar kayu," ujarnya.
Bagaimanapun beliau berkata, gabungan tersebut berdepan tempoh kritikal kerana pelaksanaan EUDR telah ditangguhkan sehingga Disember 2025.
Beliau turut menggesa industri kayu untuk terus teguh memperjuangkan peraturan yang adil sambil terus menggalakkan kelestarian.
Menurut Foong Hin, ketika Malaysia memulakan penggal kedua sebagai pengerusi, kerajaan komited untuk menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
"Marilah bersama-sama mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pendukung global pengeluaran kayu lestari, memastikan sumbangan kita diiktiraf dan dihargai di peringkat antarabangsa," katanya. - DagangNews.com