KUALA LUMPUR 4 Julai - Harga minyak sawit mentah dijangka menurun secara beransur-ansur pada separuh kedua 2022 ekoran kebimbangan tekanan inflasi global setelah ia merekodkan paras tertinggi pada tempoh separuh pertama.
Bagaimanapun, MIDF Research berkata, harga komoditi itu akan terus kekal tinggi berlegar melebihi RM5,000 satu tan metrik pada separuh kedua disebabkan masalah bekalan di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine yang masih berpanjangan telah menjejaskan bekalan minyak bunga matahari.
Selain itu, katanya, prospek pengeluaran minyak kacang soya juga lemah pada tahun ini dan 2023 berikutan fenomena La-Nina pada tahun ketiga berturut-turut di Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina ditambah lagi dengan kawasan penanaman yang lebih rendah di Amerika Syarikat (AS).
"Prospek permintaan yang semakin meningkat juga dilihat akan terus menyokong harga minyak sawit mentah pada tempoh berkenaan.
"Mengambil kira faktor-faktor ini, kami mengekalkan unjuran harga minyak sawit mentah tahun ini sekitar RM5,500 satu tan metrik buat masa ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Harga minyak sawit mentah (penghantaran tempatan) bermula pada asas yang kukuh sekitar RM5,214 satu tan metrik pada awal Januari 2022.
Pada Mac, ia melonjak dengan mendadak kepada RM8,077 satu tan metrik sebelum susut kepada RM5,105 satu tan metrik (susut 2.09% setakat ini) pada Jun.
Firma itu mendapati beberapa faktor yang menyumbang kepada penurunan tersebut, terutama keputusan Indonesia menarik balik sekatan eksport dan mengurangkan cukai eksport minyak sawit yang maksimum dan levi kepada AS$488 satu tan metrik menyebabkan harga minyak sawit Malaysia kurang menarik.
"Pada masa sama, Malaysia memasuki musim kitaran pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi pada suku kedua hingga ketiga dan juga kebimbangan terhadap sentimen permintaan ekoran kenaikan inflasi," jelasnya.
Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), MIDF Research berkata, import minyak sawit daripada kalangan negara pengimport utama berkurangan 7.9% kepada 2.6 juta tan metrik daripada 2.8 juta tan metrik sebelum ini.
Ia menyaksikan eksport ke AS berkurangan 60.1% setakat ini diikuti Pakistan (24.7%), China (10.8%) dan India (6.2%). Sebaliknya, Kesatuan Eropah mengimport lebih banyak minyak sawit dengan meningkat 7.9% disebabkan masalah bekalan minyak bunga matahari.
"Ekoran kebimbangan kemelesetan yang semakin meningkat, kami menjangkakan angka eksport kekal mendatar disebabkan tekanan inflasi di seluruh dunia," tambahnya.
Secara keseluruhan, firma itu bagaimanapun mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utamanya ialah saham Kuala Lumpur Kepong Bhd. dan TSH Resources Bhd.
"Di sebalik pendirian positif ini, masih terdapat risiko utama kepada harga minyak sawit mentah terutamanya varian baharu yang belum pernah berlaku sebelum ini akan menyebabkan sekatan di seluruh dunia, stok simpanan dan bekalan minyak kacang soya melebihi jangkaan dan perubahan dasar di negara pengimport," katanya. - DagangNews.com