Oleh EMIR MUKMIN
editor@dagangnews.com
ALOR SETAR 23 Ogos - Sebuah jawatankuasa teknikal antara kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Kementerian Pengangkutan ditubuhkan berkuat kuasa serta-merta bagi memperincikan perkara berkaitan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) serta komponen berkaitan agar projek tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penubuhan jawatankuasa itu diputuskan selepas beliau dengan disertai beberapa pihak berkaitan antaranya NCIA dan KXP Airportcity Holdings Sdn. Bhd mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong Jumaat lepas.
"Dalam pertemuan itu kita telah bentangkan kajian-kajian dilaksanakan 12 konsultan termasuk di peringkat antarabangsa melibatkan lebih 170 muka surat secara terperinci. Malah pihak kementerian sendiri terkejut dengan kajian tersebut.
"Kajian-kajian itu cukup lengkap malah dapat membantu kementerian dalam melaksanakan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP). Justeru kita berharap supaya usaha ini dapat membantu mempercepatkan langkah bagi mengangkat kertas mengenai KXP ke Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima sumbangan dari Yayasan Petronas berjumlah RM30,000 kepada 300 keluarga yang terjejas akibat pelaksanaan PKPD di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad; Pengurus Kanan Wilayah Tengah dan Utara Petronas, Zulkifli Othman serta Pengurus Wilayah Tengah dan Utara Petronas, Hazly Azrin Hamzah.
Muhammad Sanusi menjelaskan, pertemuan itu diadakan atas permintaan kerajaan negeri sendiri setelah kertas mengenai KXP tidak dibentangkan dalam mesyuarat MPFN sebelum ini dengan alasan Kementerian Pengangkutan belum memuktamadkan kajian NASP.
"Saya agak marah dengan perkara itu kerana KXP ini telah diumumkan sejak enam tahun lepas tetapi masih belum diangkat ke MPFN atas alasan NASP belum dimuktamadkan. Bagi kerajaan negeri, tempoh itu agak lama ketika KXP amat diperlukan kerana bakal menjadi 'game changer' terhadap pertumbuhan ekonomi negeri.
"Menerusi KXP serta komponennya seperti Hab Logistik, Aeroangkasa dan Pembuatan Sidam (SLAM), Lebuh Raya Koridor Utara (NCH), Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka melonjak kepada 4.6 peratus. Jadi apabila perkara itu tidak dibentangkan, sudah tentu ia membuatkan saya agak 'panas'," katanya.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, masih banyak prosedur perlu dilaui sebelum projek itu benar-benar boleh dimulakan.
"awatankuasa teknikal ini akan buat cadangan supaya kertas cadangan KXP diangkat sekali lagi ke MPFN. Selepas dapat nasihat MPFN, Kementerian Pengangkutan akan bawa pula kertas cadangan ke Kabinet.
"Selepas Kabinet lulus, baru projek boleh dimulakan. Jadi prosesnya agak panjang," katanya.
Ka Siong pada 3 Ogos lalu, menyatakan sebarang cadangan pembangunan atau naik taraf lapangan terbang baharu, hanya dapat dipertimbangkan selepas NASP dimuktamadkan kerajaan dengan jangkaannya pada 2023. - DagangNews.com