Kedai Asia di Arab Saudi catat jualan RM33,000 pada hari pertama Sarawak Week | DagangNews Skip to main content

Kedai Asia di Arab Saudi catat jualan RM33,000 pada hari pertama Sarawak Week

KUALA LUMPUR 25 April - Kedai Asia yang dimiliki Husam Waksa Foodmarket Sdn. Bhd. berjaya merekodkan jualan berjumlah RM33,000 pada hari pertama sempena program Sarawak Week di Arab Sudi yang dianjurkan 16 hingga 18 April lalu.

 

Promosi itu bertujuan memperkenalkan dan memikat selera masyarakat di negara tersebut untuk merasai juadah unik Sarawak yang terdiri daripada madu kelulut, lada, gula aren, dan salah satu makanan Sarawak yang sangat berharga, ikan terubuk dan telur terubuk yang diawet.

 

Selain penggunaan tempatan, produk ini juga dijangka menjadi popular dalam kalangan pelancong, dan ekspatriat yang menetap di negara berkenaan supaya mereka merasa dengan lebih dekat seperti di tanahair sendiri.

 

Secara keseluruhan, Kedai Asia membawakan 56 produk dari negeri Bumi Kenyalang itu 'terbang' ke Arab Saudi.

 

Selain itu, Husam Waksa juga memasarkan produk Malaysia dengan beberapa pasar raya utama di sekitar Arab Saudi seperti Bindawood, Manual dan Danube.

 

Program Sarawak Week itu dianjurkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bersama rakan strategik, Universiti Sains Malaysia (USM).
 

Ia adalah sebahagian daripada kerjasama strategik antara Teraju, Jabatan Perdana Menteri dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM melalui program Sustainable Marketing for Community (SMART Community) di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak 2020. 

 

 

Kedai Asia
Abd Latiff Ahmad ketika berucap merasmikan Sarawak Week di Kedai Asia minggu lalu.

 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad yang merasmikan program itu pada 16 April lalu berkata, melalui suntikan modal kerja sebanyak RM7 juta, Teraju melantik USM untuk memperjuangkan program Komuniti SMART bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat B40 serta pengeluar mikro, kecil dan sederhana di Sarawak.

 

Katanya, statistik menunjukkan bahawa lebih daripada 300 perusahaan mikro dan PKS mengeksport produk mereka ke Arab Saudi melalui kedai Asia dan terdapat permintaan yang baik kerana rasa yang unik dan eksotik, kualiti tulen, dan peningkatan populariti makanan Asia.

 

"Inisiatif ini sejajar dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030), pelan tindakan strategik bumiputera 10 tahun, yang dibangunkan oleh Teraju dan Dasar Keusahawanan Negara 2030, yang menyasarkan keusahawanan sebagai salah satu tindakan afirmatif dalam meningkatkan taraf hidup, dengan itu, memperkayakan ekosistem keusahawanan yang diwujudkan kerajaan," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

 

Sementara itu, Pengarah Jaringan Komuniti BJIM, Syed Yusof Syed Kechik pula berkata, Kedai Asia telah dipilih sebagai rakan strategik di Jeddah bagi melancarkan lagi penganjuran Sarawak Week, memandangkan ia merupakan entiti pertama perniagaan Malaysia yang berjaya membuka ruang perusahaan runcit di Menara Jam Abraj AlBait di Mekah. 

 

Katanya, pemilihan rakan strategik ini dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang Kedai Asia yang telah menerima anugerah Export Award daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia pada tahun 2017 dan anugerah Social Enterprise oleh Perdana Menteri.

 

"Kedai Asia merupakan kedai runcit milikan pertama anak Malaysia di Arab Saudi dan Negara Teluk bukan sahaja mempunyai kedai secara fizikal, malah turut menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui aplikasi pintar. 

 

"Selain itu, margin penjualan produk Sarawak yang ditempatkan di Kedai Asia telah meningkat sebanyak 68.1% kepada aliran pendapatan semasa Husam Waksa," katanya. - DagangNews.com